KUALA LUMPUR – Sempena edisi Jubli Perak, Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) terus berkembang seiring dengan landskap muzik Malaysia yang dinamik dan pelbagai dengan pengenalan dua kategori anugerah baharu yang mencerminkan identiti budaya negara yang kaya serta evolusi ekspresi muzik.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, kategori Lagu Borneo Terbaik diwujudkan bagi mengiktiraf karya muzik cemerlang yang meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi dan identiti unik Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, kategori itu menghormati lagu-lagu yang mencerminkan semangat, warisan dan ekspresi kreatif kontemporari masyarakat pelbagai kaum di Borneo.
“Lagu Perayaan Terbaik pula diperkenalkan bagi menghormati karya muzik yang menangkap kegembiraan, nilai dan tradisi perayaan-perayaan di Malaysia.
“Kategori ini meraikan lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian penting dalam perayaan berbilang kaum negara sambil mempromosikan perpaduan dan kesepaduan antara masyarakat.
“Pengenalan kategori-kategori ini mencerminkan komitmen berterusan AIM untuk mengiktiraf kepelbagaian industri muzik Malaysia sambil meraikan identiti budaya unik dan tradisi muzik yang membentuk landskap kreatif negara.
“Selain memperkenalkan kategori anugerah baharu, AIM25 turut menandakan edisi paling signifikan setakat ini menerusi sokongan kerajaan yang dipertingkatkan dan kerjasama strategik yang menegaskan kembali kepentingan industri muzik Malaysia sebagai penyumbang utama kepada ekonomi kreatif negara,” katanya pada sidang media AIM25 di Volume KL, di sini hari ini.
Pada majlis sama, RIM mengumumkan AIM25 akan berlangsung buat julung kali di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, pada 26 September depan.

Penganjuran edisi ke-25 itu mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) melalui MyCreative Ventures, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta TVS sebagai penyiar rasmi dan rakan penganjur.
Sebanyak 33 kategori dipertandingkan pada AIM25.
Bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi meningkatkan peruntukan DKK kepada RM950,000 berbanding RM700,000 pada AIM24.
Pemenang bagi 15 kategori termasuk Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Video Muzik Terbaik, masing-masing akan menerima geran DKK sebanyak RM50,000.
Sementara itu, pemenang kategori Album Terbaik akan menerima geran DKK berjumlah RM200,000.
Selain itu, MTCP Sarawak turut menyalurkan geran RM1 juta sebagai sokongan terhadap penganjuran AIM25, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Sarawak sebagai hab penganjuran acara seni dan budaya bertaraf antarabangsa.
Pencalonan AIM25 dibuka kepada karya muzik yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025 membabitkan lagu atau album dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.
Proses penyerahan pencalonan bermula hari ini hingga 6 Ogos menerusi laman sesawang rasmi AIM.
Dalam perkembangan sama, komposer terkenal, Ajai dilantik sebagai Ketua Juri AIM25.
Penerima Anugerah Sri Wirama pula akan diputuskan Ahli Majlis RIM, manakala senarai lima calon terakhir dijangka diumumkan pada September ini. – MalaysiaGazette
















