KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) diperdaya dalam satu penipuan terancang sehingga melaburkan hampir RM200 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery terhadap KWAP meskipun organisasi itu melaksanakan proses usaha wajar sebelum meluluskan pelaburannya.
Tegasnya, KWAP mempunyai rangka kerja tadbir urus pelaburan yang kukuh dan telus.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, pelaburan dalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
Pelabur-pelabur tersebut juga katanya, mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa.
“Pelaburan dalam eFishery diputuskan selepas melalui proses penilaian yang ditetapkan, berdasarkan maklumat yang diberikan, termasuk pengesahan penyata kewangannya oleh juruaudit bertauliah,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Menurut Anwar, pada masa sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.
Anwar menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah bentuk pertanggungjawaban dan akauntabiliti yang telah atau akan diambil terhadap ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP berhubung kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar membabitkan dana persaraan penjawat awam.
Katanya, langkah tegas dari segi tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan sudah dilakukan oleh konsortium pelaburan termasuk KWAP.
KWAP juga menurut beliau, sudah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan dan hasil semakan sudah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.
“Susulan perbincangan itu, tindakan susulan sudah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi.
“KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti. Langkah penambahbaikan sudah dilaksanakan yang bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang,” katanya.
KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam syarikat eFishery pada Julai 2023.
Syarikat pemula niaga itu dipersembahkan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang kononnya mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang.
Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette

















orang bijak pandai pun kena tipu, yg tak boleh tahan diperdaya tu..