JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin menerima dengan hati terbuka tidak dilantik semula Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri seperti lima Exco lain yang dilantik semula hari ini.
Beliau akur tidak tersenarai dalam barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor bagi penggal 2026–2031 yang mengangkat sumpah jawatan, hari ini.
Aznan percaya setiap amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan mempunyai tempohnya yang tersendiri.
“Setiap amanah ada tempohnya dan setiap perjuangan tidak pernah bergantung kepada jawatan. Perjuangan untuk rakyat tidak pernah berakhir hanya kerana perubahan jawatan.
“Selagi diberi kepercayaan sebagai ADUN Tanjung Surat, saya akan terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat dan berkhidmat tanpa mengira kedudukan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, barisan Exco Johor yang baharu bagi penggal 2026–2031 sempurna mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene di sini hari ini.
Dalam rombakan portfolio di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi penggal kedua beliau, jawatan yang ditinggalkan oleh Aznan kini digalas oleh Dr Muhammad Naqib Md Ghazali.
Mengulas mengenai pelantikan penggantinya, Aznan menzahirkan ucapan tahniah dan menyatakan keyakinan penuh terhadap keupayaan Dr Muhammad Naqib untuk meneruskan kecemerlangan portfolio berkenaan.
“Saya yakin beliau mampu meneruskan kecemerlangan portfolio ini dan membawa pembaharuan yang lebih besar demi kemajuan pendidikan serta penyampaian maklumat di negeri Johor,” ujarnya.
Sepanjang menerajui portfolio Pendidikan dan Penerangan Johor dari 2024 hingga 2026, Aznan menggerakkan pelbagai inisiatif impak tinggi termasuk Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Johor Talent Development Council (JTDC) dan Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ).
Turut dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau sebelum ini ialah program Bantuan Laptop Siswa Johor, Transformasi Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) serta bantuan makanan percuma dan kit alatan tulis bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam pada itu, Aznan turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada seluruh warga jabatan, agensi kerajaan, penjawat awam, pendidik serta rakan strategik yang memberikan kerjasama erat sepanjang beliau berkhidmat.
Aznan pada masa sama memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor sekiranya terdapat sebarang kelemahan sepanjang menggalas tanggungjawab tersebut.
“Insya-Allah, apabila kita meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya, Johor akan terus melakar kejayaan yang menjadi kebanggaan seluruh Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















