KUALA LUMPUR – Pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Marq Jayson Michael, 18, telah terpilih mewakili Malaysia beserta tiga lagi pelajar dari negara ini untuk program Sports Visitor di Boston, Amerika Syarikat (AS).
Dia menerima tajaan penuh kerajaan negara tersebut dari 10 sehingga 25 Julai 2026, menurut satu kenyataan.
Selain daripada delegasi Malaysia, terdapat enam lagi negara yang terpilih menyertai program ini iaitu Jerman, Colombia, Turkmenistan, Hong Kong dan Kenya.

Marq Jayson Michael terpilih melalui proses pemilihan yang diadakan di KV Keningau apabila institut ini dipilih oleh Kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk menghantar seorang wakil ke negara ini dengan perbelanjaan yang dibiayai sepenuhnya oleh United State Department of State.
KV Keningau terpilih atas reputasi cemerlang dalam sukan dan bidang lain seperti Bahasa Inggeris, akademik dan projek komuniti.
Marq Jayson merupakan seorang pelajar seni kulinari di kolej tersebut yang aktif bermain bola sepak.

Program selama dua minggu tersebut yang berpusat di Boston University terdiri daripada kuliah dan kelas berkaitan dengan sukan, latihan dan perlawanan bola sepak dan bola tampar serta kunjungan ke tempat-tempat tertentu untuk mendalami budaya negara itu sambil mempelajari topik-topik tertentu.
Program ini merupakan sebahagian daripada kempen Freedom 250 iaitu perayaan tahun ke 250 sejak pembentukan negara AS.
Menurut Marq Jayson yang kini masih berada di negara itu, dia berasa sangat bertuah terpilih untuk program itu kerana dia mewakili bukan sahaja negara Malaysia malah negeri Sabah dan kolej vokasional di bawah kendalian Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan (KPM).
Marq dijangka akan tiba sampai ke Malaysia pada 27 Julai 2026.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian itu kerana ia melambangkan kemampuan para kolej vokasional boleh melangkah jauh ke pelusuk dunia.
Ia membuktikan pendidikan kolej vokasional mampu melengkapkan para pelajar dengan baik untuk menghadap dunia luar. – MalaysiaGazette















