KUALA LUMPUR – Dunia muzik rock tanah air dikejutkan dengan pemergian pemain dram kumpulan Meditasi, Raja Azreen yang dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum di Kuantan, Pahang malam tadi.
Berita sedih itu mula tersebar menerusi media sosial apabila beberapa rakan penggiat seni berkongsi ucapan takziah, termasuk vokalis kumpulan Masa Legacy, Zack.
Menurut Zack, allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika menjayakan persembahan bersama kumpulannya di festival berkenaan.
“Assalamualaikum. Saya mendapat perkhabaran duka bahawa pemain dram kumpulan Meditasi, Abang Azreen telah kembali ke rahmatullah malam tadi ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum.
“Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham dan mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarganya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Dalam perkongsian susulan, Zack dimaklumkan, allahyarham berhasrat untuk memainkan lagu pertama daripada album Meditasi pada persembahan tersebut malah ia dikatakan merupakan permintaan terakhirnya.
Sementara itu, vokalis Meditasi, Burn menerusi Facebook memaklumkan jenazah allahyarham dijangka tiba di Surau Bangi Perdana, Bangi, sekitar pukul 9 pagi ini bagi urusan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.
Kumpulan Meditasi yang berasal dari Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang, pernah mencipta nama dalam arena muzik rock tempatan sekitar era 1990-an menerusi beberapa lagu popular seperti Bidadari, Hukuman Pada Pesona dan Biar Pedih Kasih Memanjang. – MalaysiaGazette















