PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr Rajasekaran Gunnasekaran tidak mahu terganggu dengan isu kerjasama antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya beliau yang juga penyandang kerusi itu hanya mahu memberi fokus mencapai kemenangan dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Berkhidmat sebagai doktor di kawasan itu selama 15 tahun sebelum ini, Rajasekaran turut yakin pengundi akan memilih dengan bijak dan tahu wakil rakyat mana yang tepat dan terbaik buat mereka.
“Saya hanya fokus kepada kemenangan, mana-mana gandingan ke apa-apa, itu kita tidak fokus kerana kita kena ingat rakyat tahu apa yang patut dilakukan.
“Harapan saya akan menang dengan lebih majoriti sebab saya sudah berkhidmat lebih dua setengah tahun.
“Sebelum ni saya pernah berkhidmat sebagai doktor selama 15 tahun ini dan ramai yang kenal saya, saya ingat mungkin satu keluarga, ada satu pesakit yang kenal dan ditambah dengan penyokong yang kuat di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun walapun berdepan saingan lima penjuru,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

PRN15 yang diadakan 2023 menyaksikan Rajasekaran yang mewakili PKR memenangi kerusi DUN Sri Tanjung dengan majoriti 3,996 undi.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 ini, Rajasekaran akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN), A. Achutan dan M. Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon Bebas.
Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India pula 28.3 peratus.
Ditanya kemenangan besar BN pada PRN Johor baru-baru ini yang mampu memberi impak kepada pengundi, Rajasekaran yakin gelombang itu tidak akan sampai ke Negeri Sembilan kerana kedua-dua negeri mempunyai isu yang berbeza.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan kerjasama dengan PN pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 adalah satu persefahaman dan bukan perjanjian atau kesepakatan.
Ahmad Zahid berkata, gabungan itu percaya melalui langkah taktikal itu dengan BN bertanding di 25 kerusi dan PN di 11 kerusi, BN akan kembali merampas Negeri Sembilan.
Sementara itu, PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 menyaksikan PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima).
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini manakala hari pengundian 1 Ogos depan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Sementara itu, DUN Sri Tanjung diwujudkan hasil daripada persempadanan semula SPR pada tahun 2018.
Ia dinamakan semula daripada kerusi asal Port Dickson dengan majoriti kawasan dikekalkan manakala sebahagian kecil dipisahkan untuk membentuk DUN Lukut. – MalaysiaGazette

















