PULAU PANGKOR – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) menganjurkan Program “Dari Pulau ke Puncak Kejayaan” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkor, Perak bagi memperkasa motivasi dan aspirasi pelajar luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Program anjuran 16 mahasiswa Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) PACE UUM Semester April 2026/2027 ini dilaksanakan dengan SMK Pangkor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Musa Hamid dan PACE, Prof. Madya Dr. Rozita Abdul Mutalib, pihak pentadbiran sekolah, guru-guru serta lebih 80 orang pelajar Tingkatan Empat.
Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti berbentuk motivasi, perkongsian pengalaman mahasiswa, latihan dalam kumpulan, aktiviti pembangunan kendiri, pendedahan mengenai hala tuju pendidikan selepas SPM.
Selain itu, para pelajar turut mengikuti sesi interaktif yang bertujuan membina keyakinan diri dan meningkatkan semangat untuk mencapai kecemerlangan akademik.
Dalam ucapannya, Musa Hamid, Pegawai Pendidikan Daerah Manjung berkata, pendidikan merupakan jambatan utama yang
mampu mengubah kehidupan seseorang.
Lantaran itu, pelajar perlu berani bermimpi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.
“Tiada siapa yang boleh menentukan masa depan kita selain diri sendiri. Walaupun berada di kawasan kepulauan, ia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Apa yang penting ialah kesungguhan, disiplin dan kesediaan untuk terus belajar.
“Saya berharap program seperti ini dapat membuka minda para pelajar bahawa peluang melanjutkan pengajian ke universiti sentiasa terbuka kepada mereka yang berusaha,” katanya.
Musa menambah, pendedahan awal daripada mahasiswa dan institusi pengajian tinggi mampu meningkatkan keyakinan pelajar untuk merancang hala tuju pendidikan serta kerjaya mereka sejak di bangku sekolah.
Menurutnya, kerjasama strategik seperti ini wajar diteruskan kerana manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh pelajar, malah turut mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat
Oleh itu, beliau menyeru semua pelajar agar memanfaatkan setiap peluang yang diberikan, terus meningkatkan prestasi akademik serta membina sahsiah yang cemerlang sebagai persediaan menjadi pemimpin masa depan negara. – MalaysiaGazette
















