Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Bersatu Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Haminah Hamid Event. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2026

SEREMBAN – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan cadangan menamakan gabungan politik baharu sebagai ‘Perikatan Barisan Nasional’ sebagai tidak sesuai dan ‘tak senonoh’.

Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan mengenai cadangan nama tersebut susulan usaha membentuk kerjasama baharu membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). 

“Saya dengar ada gabungan yang baharu, entah apa nama yang saya dengar baru ini, ada warna biru. Perikatan Barisan Nasional, begitulah bunyinya.

“Tak senonoh, lagi lama makin teruk bunyinya,” katanya ketika berucap pada program minum santai di DUN Labu, di sini, sempena PRN Negeri Sembilan.

Beliau dipercayai merujuk kepada cadangan yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menamakan gabungan baharu berkenaan sebagai ‘Perikatan Barisan Nasional’.

Muhyiddin berkata, perkembangan itu berlaku selepas Bersatu didakwa diketepikan daripada rundingan berkaitan pembahagian kerusi dan pembentukan kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, Bersatu sebagai antara rakan utama dalam Perikatan Nasional (PN) sewajarnya dilibatkan dalam sebarang rundingan membabitkan hala tuju gabungan berkenaan.

“Dalam parti itu bukan satu parti sahaja. Ada Pas, ada Bersatu, ada Gerakan, ada MIPP. Sewajarnya duduk bersama-sama berunding.

“Tetapi mereka ketepikan kita, kemudian runding dengan UMNO dan tentukan gabungan yang baharu,” katanya.

Muhyiddin berkata, keadaan itu menjadi antara faktor Bersatu mengambil keputusan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Katanya, Bersatu tidak akan mengundur daripada perjuangan politiknya untuk membela kepentingan rakyat walaupun berdepan perkembangan terbaharu membabitkan kerjasama antara parti.

“Oleh sebab itu kami berbincang dalam Majlis Tertinggi Parti Bersatu dan kita buat keputusan, tidak kisah.

“Perjuangan Bersatu ini ialah untuk membela nasib rakyat di Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain, maka kita teruskan perjuangan kita dengan masuk bertanding sebagai Parti Bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast