Chan San San

ISKANDAR PUTERI – Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chan San San, 46, berhasrat dapat membantu menyelesai isu keganasan rumah tangga dan kes penderaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya itu berkata, ini kerana sebelum ini banyak terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan dalam menguruskan masalah penduduk setempat.

“Sebelum ini saya banyak menguruskan kes-kes seperti ini. Mungkin saya bawa isu-isu ini kepada Exco untuk lihat cara menyelesaikan isu ini,” katanya.

Onn Hafiz mengumumkan 10 barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan 10 Timbalan Exco Kerajaan Negeri Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Syed Hussein Syed Abdullah, 42, berkata, elantikan Timbalan Exco Johor dilihat sebagai satu tanggungjawab besar dalam membantu kerajaan negeri memperluas agenda pembangunan serta memastikan manfaatnya dinikmati rakyat di seluruh daerah.

Katanya, peranan yang diberikan bukan sekadar membantu Exco sedia ada, sebaliknya perlu memastikan perancangan kerajaan negeri menerusi agenda Maju Johor 2030 dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Menurutnya, pembangunan dan pelaburan yang masuk ke Johor perlu memberi impak kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar dan daerah yang jauh dari pusat pertumbuhan utama.

“Ini satu tanggungjawab yang sangat berat kerana banyak perkara perlu kita lakukan bagi mencapai misi Maju Johor 2030.

Syed Hussein Syed Abdullah

“Kita mahu pelaburan yang diterima bukan hanya tertumpu di sesuatu kawasan, tetapi manfaatnya dapat dirasai seluruh Bangsa Johor, bukan sahaja di Johor Bahru dan selatan, malah hingga ke utara Johor,” katanya.

Timbalan Exco Pendidikan dan Penerangan, V Rugendran, 29, memaklumkan tidak mengetahui akan dilantik ke jawatan tersebut.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada Datuk Onn Hafiz semalam meminta saya datang ke sini dan apabila berada di sini barulah tahu dilantik sebagai Timbalan Exco.

“Saya sangat bersyukur dilantik sebagai Timbalan Exco dan akan melakukan yang terbaik dalam membantu Exco Pendidikan dan Penerangan, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali,” ujar beliau.

Rugendran

Timbalan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim, 33, pula berkata, portfolio berkenaan dekat dengan dirinya kerana sebelum ini aktif dalam pelbagai program melibatkan golongan belia.

“Portfolio ini tidak asing bagi saya kerana sebelum ini di kawasan pun saya aktif dalam program-program belia.

Nadhirah Afiqah Abdul Rahim

“Saya akan buat yang terbaik untuk negeri Johor bersama-sama Mohd Hairi (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast