SEREMBAN – Cadangan menggunakan nama tertentu bagi gabungan Barisan Nasional (BN) dan PN hanyalah pandangan peribadi yang dilontarkan secara spontan dan belum pernah dibincangkan secara rasmi.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, setakat ini tiada sebarang perbincangan sama ada di peringkat kepimpinan PN mahupun BN mengenai perkara berkenaan.
Menurutnya, fokus utama kedua-dua gabungan ketika ini ialah memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama politik, bukannya soal penjenamaan.
“Yang penting bukan nama, tetapi persefahaman dalam gabungan ini.
“Cadangan itu dibuat secara spontan dan belum dibincangkan di mana-mana peringkat,” katanya pada sidang media di Pusat Media PN PRN Negeri Sembilan di Ampangan, di sini, hari ini.
Annuar berkata, kerjasama BN-PN berkembang secara organik bermula dengan persetujuan mengelakkan pertembungan kerusi sebelum diperluaskan kepada penyelarasan kempen.
“Kedua-dua gabungan kini mengadakan ceramah bersama melibatkan pemimpin BN dan PN selain mencapai persetujuan menggabungkan manifesto,” katanya.
Selain itu, katanya jentera di kawasan yang tidak ditandingi PN akan membantu menggerakkan penyokong BN keluar mengundi dan begitu juga sebaliknya.
“Kita tidak mahu berlaku kawasan yang PN tidak bertanding tetapi kadar keluar mengundi penyokong kita rendah kerana tiada gerakan jentera.
“Beberapa lagi bentuk kerjasama sedang diperincikan secara berperingkat sepanjang kempen pilihan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















