SENDAYAN – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berjanji memastikan setiap tawaran manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 dilaksanakan melalui penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya diberikan mandat mentadbir negeri.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah itu membuktikan kesungguhan BN untuk memastikan setiap komitmen yang dibuat kepada rakyat bukan sekadar janji pilihan raya.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah manifesto bukan diukur ketika ia dilancarkan, sebaliknya apabila rakyat benar-benar menikmati manfaat daripada pelaksanaannya.
“Manifesto ini bukan sekadar dokumen pilihan raya, tetapi komitmen yang akan menjadi panduan pentadbiran negeri sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada kita.
“Apa yang membezakan BN ialah kita bukan sahaja berani membuat komitmen, malah bersedia dipertanggungjawabkan.
“Sebab itu kita akan menubuhkan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto supaya setiap janji dapat dipantau, dinilai dan dilaksanakan sebaik-baiknya,” katanya berucap pada Pelancaran Manifesto BN Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jalaluddin berkata, manifesto berkenaan dirangka secara realistik berdasarkan kemampuan kerajaan serta keperluan sebenar rakyat.
“BN tidak mahu menawarkan janji yang sukar ditunaikan semata-mata untuk meraih sokongan, sebaliknya memberi fokus kepada penyelesaian yang mampu dilaksanakan.
“Manifesto itu merangkumi pelbagai sektor termasuk ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, pembangunan belia dan wanita, usahawan, pertanian, pembangunan luar bandar, keselamatan, perumahan, alam sekitar, pelancongan serta penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan.
“Semua tawaran tersebut disusun bagi memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa ada rakyat yang tercicir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















