Oleh: Prof Madya Dr. Mohd Fairuz Ali
SEIRING dengan peralihan Malaysia ke arah masyarakat menua, isu kesihatan warga emas semakin mendapat perhatian. Namun kebanyakan dari kita lebih cakna tentang penyakit fizikal seperti diabetes, strok dan kanser. Tetapi tidak ramai yang
mengetahui dan memahami penyakit yang menjejaskan ingatan, pemikiran dan tingkah laku seperti demensia atau lebih dikenali dengan penyebab utamanya penyakit Alzheimer.
Adakah demensia dan nyanyuk itu sama?
Ramai mengaitkan demensia dengan istilah “nyanyuk”, yang sering membawa konotasi negatif. Dengan sebab itu, demensia jarang diperkatakan secara terbuka dan masih dianggap sebagai sesuatu yang memalukan oleh sesetengah keluarga.
Hakikatnya, jika tidak ditangani dengan baik, demensia boleh mendatangkan beban bukan sahaja kepada individu yang menghidapinya, malah kepada ahli keluarga yang menjaganya. Ramai ahli keluarga dan penjaga berdepan kesukaran dalam
menguruskan pesakit demensia terutama di peringkat lanjut dan akhirnya terpaksa menempatkan mereka ke pusat penempatan warga emas.
Penting untuk difahami bahawa demensia bukan sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Ia merupakan penyakit yang menjejaskan fungsi otak. Tidak semua individu akan mengalami demensia apabila meningkat usia. Kita masih dapat
melihat ramai warga emas yang kekal aktif dan berfikiran tajam walaupun pada usia lanjut.
Malangnya, tidak ramai pesakit demensia mendapat diagnosis pada peringkat awal. Ini kerana gejala awal sering dianggap sebagai perkara biasa bila berlanjut usia. Kebanyakan pesakit hanya dibawa mendapatkan rawatan pada peringkat lanjut apabila kondisi mereka semakin teruk dan penjaga mula menghadapi kesukaran untuk menguruskan mereka.
Kajian di HCTM
Dalam satu kajian yang dijalankan di klinik pesakit luar Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), didapati ramai pesakit yang hadir untuk rawatan susulan penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi kurang memahami tentang demensia dan jarang membincangkan masalah ingatan dengan doktor mereka. Akibatnya, peluang untuk menjalani saringan dan rawatan awal sering terlepas.
Ramai penjaga tidak menyedari bahawa demensia melibatkan lebih daripada sekadar masalah lupa. Ia turut menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti yang kompleks. Individu yang menghidap demensia tidak dapat menyimpan maklumat baru, menyebabkan mereka sering mengulang soalan yang sama walaupun jawapannya baru sahaja diberikan.
Demensia juga boleh mengubah emosi, tingkah laku dan personaliti seseorang. Individu yang dahulunya tenang dan peramah mungkin menjadi mudah marah, curiga atau suka menyendiri. Perubahan-perubahan ini boleh menimbulkan tekanan dan konflik dalam hubungan keluarga.
Sesetengah pesakit demensia juga boleh mengalami halusinasi, seperti melihat individu yang telah meninggal dunia atau mendengar suara yang tidak wujud. Dalam sesetengah keadaan, gejala ini disalah tafsir sebagai gangguan mistik atau spiritual. Akibatnya, keluarga mungkin mendapatkan bantuan daripada bomoh atau ustaz, sebelum membawa pesakit berjumpa doktor, sekali gus melambatkan diagnosis dan rawatan.
Tahap demensia
Demensia ialah satu penyakit yang progresif dan akan menjadi semakin teruk dari semasa ke semasa. Ia melalui beberapa peringkat, iaitu ringan, sederhana dan teruk. Jika faktor risiko tidak ditangani, sesetengah individu boleh mengalami
kemerosotan yang ketara dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Pada peringkat lanjut, demensia boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk menjalani kehidupan harian secara berdikari. Mereka mungkin mengalami kesukaran untuk berkomunikasi, makan, berpakaian atau ke tandas tanpa bantuan. Ada yang akhirnya terlantar dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Keadaan ini memberi beban yang besar kepada penjaga dari segi fizikal, emosi dan kewangan, terutamanya jika sokongan daripada ahli keluarga lain adalah terhad. Tidak menghairankan jika ramai penjaga mengalami tekanan, keletihan, kekecewaan dan kemurungan. Keadaan ini dikenali sebagai beban penjaga atau caregiver burden.
Pengetahun asas demensia
Oleh itu, penjaga perlu mempunyai pengetahuan asas tentang demensia. Apabila mereka memahami penyakit ini, mereka akan mempunyai jangkaan yang lebih realistik dan mampu menguruskan cabaran penjagaan dengan lebih baik. Diagnosis awal dan penerangan yang jelas dari doktor dapat membantu individu yang menghidap demensia serta ahli keluarga untuk merancang masa depan, menguruskan gejala dan mengurangkan komplikasi penyakit.
Dalam pengalaman penulis, kebanyakan keluarga hanya memerlukan penerangan, panduan dan sokongan dari doktor. Mereka hanya ingin mendapatkan penjelasan bagaimana orang yang mereka sayangi berubah watak dan bagaimana cara terbaik
untuk berhadapan dengan perubahan tersebut. Apabila mereka memahami penyakit demensia dengan lebih mendalam, proses penjagaan menjadi lebih mudah dan kurang menekan.
Jika anda mula menyedari tanda-tanda awal demensia pada ahli keluarga atau orang terdekat, bawalah mereka berjumpa doktor untuk mendapatkan penilaian dan rawatan awal. Hampir 40 peratus kes demensia berpotensi dicegah melalui pengawalan faktor risiko. Intervensi awal dapat membantu memperlahankan perkembangan penyakit dan mengekalkan kualiti hidup yang lebih baik, bukan sahaja untuk pesakit tetapi juga untuk ahli keluaga dan penjaga.
Doktor juga boleh memberikan panduan penjagaan jangka panjang dan dirujuk kepada perkhidmatan sokongan di dalam komuniti. Sokongan yang baik daripada keluarga, petugas kesihatan dan komuniti amat penting dalam penjagaan demensia. Apabila demensia difahami dengan baik, penjagaan menjadi lebih mudah, lebih berkesan dan kurang membebankan.
Penulis adalah Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Keluarga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.















