Mohamad ketika melancarkan Manifesto BN Negeri Sembilan di Seremban malam ini.

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) menawarkan manifesto yang berteraskan pengalaman pentadbiran dengan 88 ikhtiar merangkumi 19 teras utama dan 15 inisiatif khas sebagai pelan menyambung semula pembangunan Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto itu bukan sekadar himpunan janji politik sebaliknya dibina berdasarkan rekod pencapaian BN ketika mentadbir negeri serta mengambil kira keperluan semasa rakyat.

Beliau berkata, rakyat kini semakin matang dan bukan lagi hanya mahu mendengar manifesto, sebaliknya mahu melihat sama ada sesuatu tawaran itu benar-benar mampu dilaksanakan.

“Manifesto yang kita lancarkan malam ini menunjukkan apa yang benar-benar diperlukan rakyat berdasarkan pengalaman kita mentadbir negeri dan negara.

“Kita bukan datang untuk merobohkan apa yang ada tetapi datang untuk membaikkan, menyambung semula dasar-dasar yang telah dirancang dan terhenti selepas 2018,” katanya ketika melancarkan Manifesto BN Negeri Sembilan di sini malam ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 menyebabkan pelbagai projek serta dasar pembangunan yang telah dirancang sebelum itu gagal diteruskan dengan momentum yang sama.

Beliau berkata, Negeri Sembilan sebelum ini dibangunkan secara terancang dengan jaringan jalan raya, sekolah, institusi pendidikan, hospital, bandar dan kawasan luar bandar yang tersusun hasil dasar pentadbiran BN.

“Seolah-olah tiada sejarah Negeri Sembilan sebelum 2018. Hakikatnya kita telah membangunkan negeri ini dengan baik dan banyak perancangan tidak dapat diteruskan apabila kita kehilangan kuasa,” katanya.

Mengulas kandungan manifesto, Mohamad berkata, pemulihan ekonomi menjadi keutamaan dengan sasaran mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun, termasuk kira-kira 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi bagi mengurangkan penghijrahan tenaga kerja muda ke negeri lain.

Beliau berkata, BN turut merancang melantik kira-kira 20,000 peserta latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri selain memperkenalkan konsep ‘Satu Daerah, Satu Syarikat Utama’ bagi merancakkan pembangunan ekonomi di setiap daerah.

“Apabila ekonomi berkembang, peluang pekerjaan akan bertambah dan pendapatan rakyat akan meningkat. Itu sasaran utama kita,” katanya.

Dalam aspek kebajikan rakyat, Mohamad berkata, BN akan memperkukuh sistem keselamatan sosial dengan memastikan kerajaan lebih proaktif mendekati rakyat berbanding menunggu rakyat mendapatkan bantuan.

“Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mencari rakyat bukan rakyat yang mencari kerajaan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus diperkasakan menerusi pelbagai insentif termasuk bantuan kepada usahawan baharu dan perusahaan kecil.

Bagi sektor pertanian, beliau berkata, BN mahu mengembalikan Negeri Sembilan sebagai antara pengeluar makanan utama negara melalui peningkatan pengeluaran hasil pertanian, penternakan dan perikanan.

Menurutnya, negeri itu memiliki tanah yang subur dan tidak seharusnya terus bergantung kepada bekalan makanan import.

“Kita mahu meningkatkan pengeluaran ayam, telur, daging dan hasil pertanian lain supaya keterjaminan makanan negara dapat diperkukuhkan,” katanya.

Dalam sektor perumahan pula, Mohamad mengumumkan sasaran pembinaan 20,000 unitrumah mampu milik yang lebih selesa dengan reka bentuk tiga bilik dan dua bilik air selain mengekalkan kadar cukai pintu sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran BN.

“Kita tidak mahu lagi konsep rumah yang sempit dan tidak sesuai untuk keluarga. Rumah mampu milik mestilah benar-benar selesa untuk didiami,” katanya.

Beliau berkata, BN juga akan memberi perhatian kepada pengurusan perumahan awam, penyelenggaraan kawasan kediaman serta menaik taraf kemudahan asas.

Selain itu, jelasnya, manifesto turut memberi penekanan terhadap pemeliharaan alam sekitar termasuk memastikan pembangunan industri dilaksanakan secara lebih tersusun bagi mengelakkan pencemaran di kawasan perumahan.

Dalam sektor pelancongan pula, Mohamad berkata, BN menyasarkan peningkatan jumlah pelancong domestik dan antarabangsa melalui pembangunan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, warisan, budaya dan rekreasi.

Beliau berkata, Bukit Putus antara lokasi yang akan dibangunkan sebagai pusat rekreasi utama negeri selain memperkukuh ekonomi komuniti setempat melalui industri pelancongan.

Mohamad turut memberi jaminan kebajikan masyarakat Orang Asli, belia, institusi agama, badan bukan kerajaan (NGO), sukan dan kebudayaan akan terus diperkasakan menerusi pelbagai program pembangunan komuniti.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan memberikan mandat yang kukuh kepada BN agar segala perancangan dalam manifesto itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Ini bukan manifesto untuk mencipta sesuatu yang baharu semata-mata tetapi manifesto untuk menyambung semula segala dasar yang telah terbukti berjaya sebelum ini.

“Berikanlah mandat yang kuat kepada BN supaya kita dapat mengurus Negeri Sembilan dengan lebih baik dan membawa negeri ini kembali ke landasan kegemilangannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast