KUALA LUMPUR – Blackmores Malaysia buat julung kalinya menganjurkan Karnival Jom!Fit di One Utama, Petaling Jaya yang bertujuan untuk memperkasa penjagaan kesihatan pencegahan tulang dan sendi yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda.
Karnival dengan kerjasama CARiNG Pharmacy, sebuah jenama farmasi di bawah Kumpulan BIG CARING itu bersempena ulang tahun ke-50 syarikat kesihatan semula jadi dalam menyokong perjalanan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan Asia Kumpulan Blackmores, Andrew Fuary berkata, sepanjang acara berlangsung, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai pengalaman interaktif termasuk saringan kesihatan, cabaran fizikal, sesi konsultasi dengan ahli farmasi serta aktiviti mesra keluarga yang bertujuan menjadikan penjagaan kesihatan secara pencegahan lebih menarik dan mudah difahami.
“Tanggungjawab kami bukan sekadar menyediakan penyelesaian kesihatan yang dipercayai. Kami komited untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat, dan membantu orang ramai menjaga kesihatan mereka untuk jangka panjang.
“Menerusi visi More Health, More Life serta kerjasama dengan rakan penjagaan kesihatan yang dipercayai seperti CARiNG Pharmacy, kami berharap dapat menginspirasikan lebih ramai orang untuk mengambil langkah proaktif demi menjaga kesejahteraan mereka dan menjadikan penjagaan kesihatan secara pencegahan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya.

Karnival Jom!Fit bermula 22 Julai selama lima hari memberi peluang peserta yang berjaya menyempurnakan Cabaran 500 Wellness Laps akan menerima hadiah eksklusif sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat setiap hari.
Blackmores turut menyumbang 200 produk kesihatan kepada kelab larian yang mengambil bahagian sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan BIG CARiNG, Lim Sin Yin berkata, farmasi komuniti sering menjadi tempat pertama bagi orang ramai mendapatkan nasihat serta sokongan kesihatan di mana pihaknya melihat peranan ini sebagai peluang untuk meluaskan akses kepada penjagaan kesihatan.
Kata beliau, kumpulan itu juga membantu orang ramai membuat keputusan kesihatan berdasarkan maklumat yang tepat dan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil pendekatan yang lebih proaktif terhadap kesihatan mereka.
“Kami juga berharap dapat menginspirasikan lebih ramai rakyat Malaysia supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat bagi menyokong kesejahteraan jangka panjang mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















