PASIR GUDANG – “Masa yang akan tentukan,” ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkenaan hala tuju dan tempoh kerjasama dan persefahaman politik Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN), selepas ini.
Menurut beliau, ketika ini kerjasama antara BN dan PN itu yang terjalin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini merupakan satu persefahaman politik bertujuan menyatupadukan masyarakat Melayu.
Justeru katanya, masyarakat bukan Melayu tidak perlu berasa bimbang atau terancam dengan strategi kerjasama berkenaan.
“Kerjasama ini merupakan satu persefahaman, bukan gabungan parti politik. Persefahaman yang dapat kita jayakan di peringkat ini adalah supaya tidak berlaku pertembungan. Hanya persefahaman dan bukannya gabungan.
“Disebabkan itu, parti-parti terlibat ini boleh mempunyai pandangan berbeza-beza, tiada masalah kerana kita tidak bergabung. Kita hanya mahu pastikan menerusi persefahaman ini kita tidak bertembung, jadi pihak-pihak lain jangan keliru,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di sini hari ini.
Katanya, ketiadaan persefahaman seperti itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu telah menyaksikan BN bertembung dengan PN di beberapa kawasan.
Walaupun begitu katanya, masyarakat Melayu memberikan pemusatan undi dengan memilih BN dan UMNO di Johor.
“Di Johor kejayaan itu terhasil menerusi inisiatif Rumah Bangsa, apabila golongan atas pagar dan pengundi muda majoritinya pergi kepada UMNO kerana mereka memilih kestabilan. Maka apabila kita masuk PRN Negeri Sembilan, UMNO menjadi antara faktor pemusatan, atau pusat graviti orang Melayu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan tiada mana-mana pihak boleh mempertikaikan perpaduan dan kestabilan masyarakat Melayu di negeri ini, termasuklah masyarakat bukan Melayu.
“Kestabilan perpaduan orang Melayu sebagai bangsa majoriti dalam negara adalah baik untuk Malaysia. Sebaliknya perpecahan bangsa Melayu boleh menyebabkan negara kita berpecah belah. Agama Islam sendiri menyeru perpaduan dalam kalangan umatnya.
“Kaum-kaum lain tidak perlu berasa bimbang, UMNO melalui BN sentiasa melibatkan kaum lain dalam urusan pentadbiran negara kerana kita menerima kepelbagaian sejak dahulu lagi. Wakil setiap kaum perlu ada dalam kerajaan.
“UMNO dan BN akan pastikan hak-hak kaum lain itu dihormati. Mereka akan turut mendapat manfaat daripada segala dasar yang kita jayakan berasaskan kepada perlembagaan negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















