PONTIAN – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan tawaran manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah lebih realistik berbanding manifesto lawan.
Jelasnya, keyakinan tersebut berpaksikan rekod pencapaian serta keupayaan BN dalam mentadbir sebelum ini.
Tambahnya, setiap aku janji yang terkandung dalam manifesto BN disusun berdasarkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya, bukannya sekadar janji bagi meraih sokongan.
“Manifesto BN jauh lebih baik. Kita yakin apa yang dijanjikan akan dapat ditunaikan kerana ia berdasarkan kemampuan dan pengalaman mentadbir.
“Apa yang kita sebut, war-warkan dan janjikan kepada rakyat itulah yang akan kita laksanakan apabila diberi mandat,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu lagi, manifesto berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan generasi muda kerana kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar membentuk kerajaan, sebaliknya membina masa depan negara.
Katanya, selain golongan muda, manifesto itu turut memberi perhatian kepada wanita, veteran dan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum menerusi pendekatan yang inklusif.
Ahmad berkata, antara tawaran utama BN ialah meneruskan projek pembangunan yang tertangguh termasuk Malaysia Vision Valley (MVV) yang dirancang ketika pentadbiran bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, pembangunan dari Seremban hingga Port Dickson itu bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menarik pelaburan serta membangunkan kawasan perindustrian, perniagaan dan pelancongan yang mampu menjadi pelengkap kepada Kuala Lumpur.
“Ia bukan sekadar projek pembangunan, tetapi satu perancangan jangka panjang untuk merancakkan ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette
















