Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Tengah) dan Ahli Majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (dua dari kanan) ketika di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan hari ini

PEKAN – Rakyat pada waktu ini tidak lagi mahu mendengar cerita sejarah lalu, sebaliknya lebih cenderung menilai kemampuan sesebuah parti memerintah berdasarkan prestasi dan khidmat yang diberikan.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, disebabkan itu, UMNO perlu membuat satu anjakan paradigma dalam usaha memenangi hati rakyat.

“Hari ini banyak parti yang wujud. Jadi, parti yang boleh tahu denyut nadi rakyat, faham kesusahan serta keperluan rakyat dan berlandaskan prestasi, itulah parti yang akan menjadi sandaran kepada rakyat.

“Dah tidak boleh macam dulu. Hari ini orang nak tahu, jalan baik atau tidak, longkang berfungsi arau sebaliknya, tidak rumah ada disediakan ke tidak harga barang naik macam mana, harga minyak tak turun-turun. Orang marah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini yang dirasmikan Ahli Majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau dalam masa sama menyeru agar ahli UMNO di semua peringkat supaya mengetepikan perbezaan pandangan dan memperkukuh saf kepimpinan bagi memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Ahli parti perlu bersatu. Perlu bekerja, turun padang dan dekati rakyat. Macam di kawasan saya (Bebar) ada 6,523 buah rumah keseluruhan dan kita akan pastikan kita pergi ke setiap rumah.

“Kita perlu tahu apa masalah setiap keluarga di rumah tu. Kita perlu jadi kerajaan yang cakna dengan permasalahan dihadapi rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast