Muhyiddin ketika berucap pada ceramah kempen PRN di Palong 2, Negeri Sembilan malam tadi yang turut dihadiri calon Bersatu Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk R. Sri Sanjeevan.

JEMPOL – UMNO didakwa akan mencabar semula penguasaan Pas di negeri-negeri utara apabila tiba masanya, walaupun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kini dilihat bekerjasama pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemesraan yang ditunjukkan Pas terhadap UMNO ketika ini didakwa mempunyai kaitan dengan kebimbangan berlaku pertembungan pada pilihan raya akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa Pas bimbang UMNO akan kembali mencabar pengaruhnya di empat negeri yang kini ditadbir parti itu iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, Pas cuba memberi isyarat kepada UMNO supaya BN dan PN mengelakkan pertembungan sesama sendiri dengan menjadikan Negeri Sembilan sebagai permulaan pendekatan berkenaan.

Katanya, sokongan yang diberikan UMNO di Negeri Sembilan bagaimanapun dilihat tidak bermaksud parti itu tidak akan kembali berdepan Pas pada pilihan raya akan datang, termasuk dalam usaha merebut semula negeri-negeri yang pernah dikuasai UMNO.

“Supaya UMNO ambil iktibar daripada pilihan raya ini, dia tak lawan dengan Pas di negeri-negeri Pas di utara (pada pilihan raya akan datang)

“Tapi ingatlah, saya percaya UMNO akan melanggar juga dia (Pas),” kata Ahli Parlimen Pagoh itu ketika berucap pada ceramah kempen PRN di Palong 2, di sini malam tadi yang turut dihadiri calon Bersatu Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk R. Sri Sanjeevan.

Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO berkata, hubungan mesra yang dipamerkan Pas dan UMNO di Negeri Sembilan ketika ini hanya bersifat sementara dan tidak akan berulang apabila kedua-dua parti berdepan persaingan di negeri-negeri utara.

“Jadi yang sementara ini di Negeri Sembilan dia peluk-peluk, cium mulut. Esok dia akan hadapi masalah kerana sebenarnya keadaan itu tidak akan berulang di negeri-negeri yang di utara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Negeri Sembilan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kerjasama antara BN dan PN yang disifatkannya sebagai percaturan politik semata-mata menjelang pilihan raya.

“(Berbanding) Bersatu, kita tak pernah bohong kerana kita parti yang ikhlas berpegang pada prinsip yang salah tetap salah dan yang melanggar undang-undang tetap melanggar undang-undang.

“Prinsip itulah yang parti kita pertahankan selama ini, tak sama seperti parti-parti lain yang tidak berpegang pada apa-apa prinsip,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast