Datuk Seri Khaled Nordin merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – UMNO berhasrat merampas semula kerusi Parlimen Pasir Gudang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti yang sebelum ini dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Justeru kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, momentum kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan DUN Johor Jaya bawah Parlimen Pasir Gudang yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu perlu dikekalkan.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, kemenangan besar tersebut perlu disambut dengan rasa rendah diri dan iltizam supaya kepercayaan rakyat terhadap UMNO tidak tergugat serta sokongan tersebut dapat diterjemahkan dalam PRU-16 pula.

“Ini hanya boleh diterjemahkan calon kita yang mula kerja keras dan ambil tanggungjawab dengan baik dan berkesan. Kemenangan ini kita jaga, orang Melayulah yang memenangkan kita.

“Parti perlu mengelak lakukan kesalahan lampau. Kita sedar rakyat punya harapan yang sangat tinggi. Apa yang penting kita kena pastikan parti kita benar-benar menunjukkan prestasi. Ini termasuk mereka yang dilantik sebagai ahli majlis dan ketua kampung,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Four Points by Sheraton, Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khaled tidak menafikan kemenangan dua kerusi DUN tersebut adalah hasil sokongan pengundi muda yang ramai dan memainkan peranan besar dalam PRN Johor ke-16.

Katanya, seramai 61 peratus pengundi muda di Johor Jaya dan 70 peratus pengundi muda di Permas memberi sokongan terhadap UMNO pada PRN-16.

Menurut beliau, selepas ini sekiranya parti meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang menjadi calon PRU-16 belum tentu boleh menang kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Katanya, ahli dan jentera perlu memberi perhatian terhadap pengundi atas pagar yang disifatkan pengundi praktik.

Jelas beliau, pengundi atas pagar dibentuk pandangan mereka secara bebas menerusi platform media sosial seperti threads, TikTok dan Instagram.

Tambahnya, fokus mereka tertumpu isu perumahan, pekerjaan, kos sara hidup dan integriti, justeru masalah berkenaan perlu ditangani.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast