Ahli Parlimen Selayang, William Leong berucap pada ceramah kelompok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Rahang, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2026.

SEREMBAN – Rakyat Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak menukar ‘pemandu’ di pertengahan jalan bagi memastikan projek pembangunan dan agenda ekonomi negeri dapat diteruskan sehingga mencapai destinasi yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, kesinambungan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) penting bagi memastikan projek-projek yang telah dirancang dan dilaksanakan kerajaan negeri dapat diteruskan dengan lancar.

“Projek ini kita hendak lakukan dengan lancar. Tidak boleh pertengahan-pertengahan untuk tukar pemandu. Pemandu lain mungkin tidak tahu bagaimana untuk memandu kereta sampai ke hujung dan destinasi.

“Sebab itu penting kita mengekalkan Pakatan Harapan dengan pasukan yang mempunyai bakat, pengalaman yang jelas, kemahiran dan yang penting kewibawaan,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan PKR Cabang Seremban.

Menurut William, kestabilan dan perpaduan merupakan asas penting untuk menarik pelaburan ke Negeri Sembilan, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.

Beliau berkata, pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) antara contoh agenda besar yang memerlukan kesinambungan pentadbiran bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan sehingga selesai.

Katanya, MVV 2.0 yang membabitkan koridor ekonomi dari Seremban hingga Port Dickson dijangka menarik pelaburan berjumlah RM294 bilion serta mewujudkan kira-kira 60,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Negeri Sembilan memerlukan satu pasukan dan masyarakat yang bersatu. Perpaduan itu penting. Dengan perpaduan akan ada kestabilan dan dengan kestabilan, pelaburan akan masuk.

“Bila pelaburan datang, kita mengadakan kilang dan menyediakan pekerjaan yang baik dengan pendapatan yang tinggi. Ini yang kita semua mahu,” katanya.

William berkata, kemasukan pelaburan syarikat antarabangsa termasuk Google serta pelaburan syarikat tempatan menunjukkan usaha pembangunan ekonomi Negeri Sembilan sudah mula membuahkan hasil.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya menilai prestasi kerajaan berdasarkan bukti dan pencapaian, bukannya terpengaruh dengan retorik atau emosi, selain keluar mengundi pada 1 Ogos ini bagi menentukan masa depan negeri itu.

“Jangan pilih mengikut retorik. Jangan pilih atas emosi. Calon kita berkata, lihat kepada bukti. Dan bukti adalah jelas. Prestasi Kerajaan Pakatan Harapan dua penggal adalah jelas.

“Jangan serahkan kuasa kepada pihak ketiga untuk menentukan masa depan anda, anak-anak dan keluarga. Keluar mengundi dan pilih masa depan anda sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast