KUALA LUMPUR – Pelukan erat Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di hadapan pintu masuk utama Pusat Latihan Polis (Pulapol) menjadi detik penuh emosi pada majlis persaraan pegawai kanan polis itu hari ini.
Ketika perbarisan paluan berundur berlangsung, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dilihat menunggu sehingga Ayob Khan selesai sesi bergambar bersama anggota Unit Tindak Khas (UTK).
Selepas itu, kedua-dua mereka berpelukan dan kelihatan sebak seketika sebelum Mohd Shuhaily menaiki motosikal berkuasa tinggi untuk mengiringi konvoi Ayob Khan meninggalkan perkarangan Pulapol Kuala Lumpur.
Terdahulu, Mohd Shuhaily turut dilihat memeluk Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail serta bersalaman dengan beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis yang bermula jam 2 petang itu turut menyaksikan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Ayob Khan yang bersara wajib.
Majlis berkenaan berlangsung penuh istiadat dan penghormatan bagi mengenang jasa tokoh kepolisan itu yang menamatkan perkhidmatan selepas hampir 35 tahun bersama pasukan PDRM.
Anak jati Kota Setar, Kedah itu pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pasukan termasuk Penolong Pengarah Anti Pengganas Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. – MalaysiaGazette
– MalaysiaGazette
















