Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pusat Media PN, Taman Lavender, Ampangan, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mendakwa sentimen perkauman semakin membarah sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara sehingga menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan sedia ada gagal mengurus hubungan antara kaum sekali gus menyebabkan politik perpecahan semakin ketara.

“Masalah sentimen perkauman semakin subur ketika PH memerintah.

“Orang Melayu berasa tidak selamat, orang bukan Melayu juga berasa tidak selamat. Ini kegagalan kerajaan mengurus masyarakat majmuk,” katanya pada sidang media di Pusat Media PN di Ampangan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan baharu perlu dibentuk bagi mengembalikan keharmonian negara.

“Sekiranya perlu, kerajaan baharu akan mempertimbangkan penggubalan undang-undang baharu bagi mengekang politik berasaskan kaum,” katanya.

Beliau turut membandingkan rekod pentadbiran PN dan BN yang mentadbir negara serta beberapa negeri selama puluhan tahun tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

“Sewaktu PN memerintah, wakil rakyat DAP menerima peruntukan.

“Adakah kerajaan PH hari ini melakukan perkara sama terhadap Ahli Parlimen PN? Itu rakyat boleh nilai sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast