SEREMBAN – Terdapat cubaan memutar belit ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sehingga menimbulkan persepsi bahawa beliau menggesa masyarakat Cina dan India kembali ke negara asal.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ia merupakan fitnah yang disengajakan bagi membangkitkan sentimen perkauman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Seorang individu membuat kenyataan seolah-olah Sanusi berkata orang Cina balik ke China dan orang India balik ke India.
“Itu sama sekali tidak pernah disebut. Ia adalah fitnah yang nyata dan sangat serius. Laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit selain tindakan undang-undang turut dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di Pusat Media PN, Taman Lavender, di sini, hari ini.
Annuar juga berkata, ucapan Sanusi sebenarnya menyentuh fakta sejarah mengenai asal-usul pelbagai bangsa termasuk masyarakat Kemboja, Thailand, China dan India.
Jelasnya, konteks sebenar ucapan itu ialah menyeru orang Melayu memperkukuhkan perpaduan serta memupuk semangat patriotisme tanpa menafikan hak kaum lain di negara ini.
“Beliau bercakap mengenai sejarah dan pentingnya orang Melayu mempertahankan tanah air sendiri, bukannya menyeru mana-mana kaum meninggalkan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan Pas membawa fahaman perkauman, malah Islam sendiri mengharamkan fahaman asabiyah dan parti itu sendiri berteraskan Islam tidak mungkin memperjuangkan politik perkauman.
“Pas dan UMNO merupakan antara parti yang terlibat dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan bersama MCA dan MIC.
“Mereka mempunyai saham menjadikan negara ini sebuah negara berbilang kaum yang menjamin hak semua rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















