Noraini rasmikan Persidangan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Batu Pahat malam tadi.

BATU PAHAT – Kemenangan besar calon Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja dan DUN Parit Yaani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan bermakna berakhirnya tugas untuk terus mendekati rakyat.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kemenangan besar itu perlu dianggap sebagai permulaan merampas kembali Parlimen Sri Gading ke dalam genggaman UMNO.

“Kekalahan dengan majoriti 4,000 undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bukan satu tugas yang sukar diatasi dan bukan jurang untuk menutup peluang kemenangan.

“Harus diingat kemenangan besar di kedua-dua DUN (Parit Yaani dan Parit Raja) tidak boleh digunakan asas sokongan secara automatik di peringkat Parlimen kerana rakyat akan terus menilai setiap gerak kerja yang dilakukan oleh keseluruhan jentera Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan; Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri dan ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli.

Katanya, UMNO dan BN amnya mempuyai asas sokongan yang kuat namun masih ada ruang perlu dimenangi, selain memahami pengundi tidak membuat keputusan sama dalam setiap pilihan raya.

“Untuk itu, semua pihak sama ada peringkat sayap hingga peringkat bahagian parti harus menggembelengkan tenaga untuk terus bekerja seperti mana sebelum PRN lalu agar kemenangan besar BN dalam di Johor dapat diulangi apabila menjelang PRU kelak.

“Saya juga menaruh keyakinan bahawa kemenangan besar BN di Johor baru-baru ini akan memberi impak besar kepada BN di seluruh negara yang berkemungkinan boleh mengubah landskap pentadbiran negara dalam PRU ke-16 nanti,” katanya.

Noraini turut menitipkan pesan bahawa perkara yang paling mudah berlaku ialah menjadi terlalu selesa apabila mengecapi kemenangan apatah lagi dengan majoriti besar kerana merasakan rakyat sudah kembali kepada UMNO atau BN dan menjangkakan kemenangan seterusnya akan datang dengan sendiri.

“Itu adalah satu kesilapan besar kerana politik hari ini tidak akan berlaku sedemikian apabila pengundi lebih terbuka membuat pilihan, mereka melihat prestasi dan sikap setiap calon atau pemimpin yang akan diketengahkan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast