Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni penduduk ketika hadir ke majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan sesiapa sahaja boleh membuat ramalan berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu ini.

Menteri Besar yang juga calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu berkata, mana-mana pihak juga bebas untuk melontarkan pandangan masing-masing berhubung peluang parti politik yang bertanding.

“Sesiapa pun boleh buat ramalan. Tadi orang kampung di sini pun ada ramalan mereka sendiri.

“Jadi itu pandangan masing-masing, mungkin mereka ada buat kajian, itu terpulang,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri majlis tahlil dan doa selamat di kediaman penduduk di Pasir Panjang, Linggi di sini, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada wartawan selepas menyantuni penduduk ketika hadir ke majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ditanya berkenaan ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang mana Barisan Nasional (BN) mampu memenangi sehingga 25 kerusi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya bagaimanapun memilih menunggu keputusan sebenar PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini.

“Apapun keputusan itu nanti kita terima, itu kehendak rakyat.

“Saya tak berani nak ramalkan keputusan rakyat,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan tahap sokongan keseluruhan rakyat Negeri Sembilan kepada PH menjelang beberapa hari lagi sebelum hari pengundian Sabtu ini, Aminuddin menyifatkan sokongan yang ditunjukkan sangat positif.

“Keseluruhan mood rakyat adalah baik, tetapi kita perlu jaga sehingga hari pengundian nanti, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni penduduk ketika hadir ke majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast