Mohd Jafni melihat perkembangan projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor di Gelang Patah, Iskandar Puteri hari ini

ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor membidas dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Johor lembap membangunkan rumah mampu milik.

Beliau menegaskan, dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali kerana projek perumahan rakyat sedang dilaksanakan dengan sasaran menyediakan 100,000 unit menjelang 2030.

Mohd Jafni menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana menerusi pembangunan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang ditawarkan pada harga bersubsidi.

“Antara projek terbesar yang sedang dibangunkan ialah Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor di sini membabitkan lebih 2,000 unit dengan tiga kategori harga iaitu RM150,000, RM250,000 dan RM300,000.

Mohd Jafni meninjau perkembangan projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor di Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini

“Rumah RM150,000 misalnya, harga pasaran semasa hampir RM400,000, tetapi kerajaan negeri menawarkan secara subsidi supaya rakyat Johor mampu memiliki kediaman,” katanya ketika meninjau kemajuan projek perumahan tersebut di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri baru-baru ini menegur kelembapan pembangunan rumah mampu milik di Johor serta mengingatkan supaya pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar Johor Ke Depan di Muar pada 5 Jun lalu.

Mohd Jafni bersama-sama pihak kontraktor selepas meninjau projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, sejak 2022 hingga suku pertama 2026, sebanyak 12,412 unit RMMJ sudah siap dan diserahkan kunci kepada pemilik, manakala lebih 8,000 unit lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Dalam tempoh lima tahun, kita sasarkan 30,000 unit rumah mampu milik siap sehingga penghujung 2026. Selepas itu, sebanyak 70,000 unit lagi akan dibangunkan dari 2027 hingga 2030 bagi mencapai sasaran 100,000 unit,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor menunjukkan perkembangan positif apabila Fasa 1 yang membabitkan 951 unit kini mencapai kemajuan 96.34 peratus dan dijangka siap lebih awal pada suku pertama 2027.

Fasa 2, katanya, melibatkan 571 unit kini mencapai 75 peratus kemajuan dan dijangka siap suku ketiga 2027, manakala Fasa 3 membabitkan 1,038 unit dijangka siap pada 2028.

Menurutnya, lebih 8,000 permohonan diterima bagi projek berkenaan dengan lebih 70 peratus pemohon terdiri daripada golongan muda berusia bawah 40 tahun.

“Ini menunjukkan permintaan terhadap rumah mampu milik masih tinggi, khususnya dalam kalangan golongan muda yang mahu menetap dan membina kehidupan di Johor,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jafni memberitahu, pihaknya ada menjemput Perdana Menteri untuk sama-sama hadir melawat tapak projek pembinaan rumah mampu milik yang sedang dibangunkan di seluruh negeri ini.

Pelawaan tersebut dibuat selepas Anwar mengeluarkan kenyataan berkenaan yang disifatkan tidak benar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast