TOKYO – Seorang pemuzik di Jepun ditahan polis selepas didakwa menyebabkan jiran-jirannya yang sudah berusia mengalami insomnia selama lebih tujuh tahun akibat bunyi gitar yang terlalu kuat.

Lelaki itu Kyoto, Kazunori Yokoi, 61, didakwa memainkan puluhan gitar miliknya serta memasang radio pada tahap bunyi yang tinggi pada waktu siang dan malam sejak tahun 2019.

Seorang pegawai polis tempatan yang enggan dikenali memberitahu AFP, tindakan itu menyebabkan tiga jirannya yang berusia antara lingkungan 60 hingga 80 tahun mengalami gangguan tidur dan kemurungan, manakala seorang lagi mengalami tinnitus, iaitu keadaan telinga berdengung secara berterusan.

Katanya, beberapa siri amaran rasmi telah dikeluarkan namun gagal mengubah tingkah laku lelaki berkenaan sebelum empat jirannya berjaya memberikan bukti yang mencukupi kepada polis untuk menahannya atas tuduhan melakukan serangan.

Hasil pemeriksaan di kediaman Yokoi, polis merampas lebih 40 buah gitar, kebanyakannya gitar elektrik, selain pemain cakera padat (CD), pemain kaset radio dan penguat bunyi.

Siasatan turut mendapati tahap bunyi di kawasan kejiranan itu melebihi 80 desibel, iaitu kira-kira setara dengan bunyi di dalam sebuah kereta api yang sedang bergerak.

“Ia sangat teruk kerana pelbagai jenis bunyi bercampur sepanjang hari,” kata seorang jiran lelaki berusia lingkungan 60-an yang dipetik agensi berita Kyodo. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast