Dari kiri ; Koperal Yushafizi Yusuf, Sarjan Azlina Ismail, dan Superintenden Muhammad Hafiz Mohd Nor lega menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada hari Undi Awal di IPD Jempol hari ini

JEMPOL – Meredah perjalanan pergi dan balik sejauh 800 kilometer dengan tempoh perjalanan kira-kira 10 jam demi menunaikan tanggung jwab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Koperal Yushafizi Yusuf =, 37 tahun, berkata beliau yang kini bertugas di Taiping, Perak memilih untuk mengundi awal di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol di sini.

Ujarnya tiada istilah penat untuk menunaikan tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia walaupun terpaksa memandu sendirian untuk terus pulang bertugas di Perak selepas selesai mengundi.

“Selain dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, beliau turut berpeluang mengimbau kenangan apabila bertemu semula rakan-rakan seperjuangan.

“Walaupun baru berpindah, saya tetap memastikan dapat mengundi. Seronok juga dapat bertemu semula kawan-kawan lama sebelum masing-masing kembali bertugas,” katanya.

Semangat sama turut dizahirkan oleh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh yang sanggup meredah kesesakan lalu lintas dari Sungai Buloh ke Jempol selepas diberikan pelepasan khas oleh Ketua Polis Selangor bagi menunaikan tanggungjawab mengundi awal.

Superintendan Mohd Hafiz Muhammad, berkata  perjalanan yang memakan masa beberapa jam bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Walaupun berdepan kesesakan, saya bersyukur diberi pelepasan untuk pulang mengundi. Selepas selesai, saya akan terus kembali bertugas bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya,” katanya.

Selain itu sepasang suami isteri yang kedua-duanya merupakan anggota polis juga tidak melepaskan peluang yang datang lima tahun sekali.

Sarjan Azlina Ismail berkata beliau hadir secara berasingan kerana tuntutan tugas bagi menunaikan tanggungjawab sebelum kembali ke tempat penugasan masing-masing.

Menurut sarjan itu selesai mengundi memberi kelegaan kerana mereka kini boleh memberi sepenuh tumpuan kepada tugas menjaga keselamatan sepanjang pilihan raya.

“Lega kerana dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. Selepas ini fokus kami sepenuhnya adalah memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan aman dan selamat,” kata mereka.

Hari ini seramai 333 anggota polis yang layak telah mendaftar sebagai pemilih untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Jempul Superintendan Norhisham Mustafa berkata jumlah peratusan keluar mengundi ialah 96.7 peratus bersamaan 309 anggota sehinga jam 5 petang tadi bagi DUN Serting, Bahau dan Jeram Padang.

Ujarnya, proses pengundian awal di daerah itu berjalan lancar dalam suasana terkawal hasil kerjasama semua pihak dan berharap momentum tersebut dapat diteruskan sehingga hari pengundian nanti.

Tambahnya, seramai 800 anggota dan pegawai akan bertugas pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.

“Kita berharap proses pengundian pada hari mengundi akan berlangsung dengan lancar, aman dan teratur.

“PDRM akan terus komited untuk memastikan keselamatan semua pengundi serta kelancaran proses demokrasi di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast