SEREMBAN – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah memuji kelancaran proses pengundian awal di Balai Polis Sikamat yang disifatkannya berlangsung dalam suasana terkawal, teratur dan profesional.
Razali yang hadir meninjau proses pengundian awal berkata, beliau berpuas hati dengan pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurutnya berjaya memastikan keseluruhan proses berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Saya melihat suasana undi awal pada hari ini amat terkawal, teratur, licin dan memang terbaik yang telah dikendalikan oleh SPR sendiri.
“Mereka menjalankan tugas dengan baik, jujur dan saya tidak melihat apa-apa juga kekecohan sepanjang proses pilihan raya ini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas meninjau pusat pengundian awal di Balai Polis Sikamat hari ini.

Razali juga berkata, walaupun tiba di lokasi sekitar 8.35 pagi, segala urusan termasuk pendaftaran, ruang menunggu dan laluan masuk pengundi disusun dengan begitu sistematik.
Razali turut diberi peluang memasuki kawasan pengundian selama beberapa minit bagi melihat sendiri perjalanan proses pengundian.
“Saya sempat masuk seketika melihat bagaimana proses undi awal berlangsung dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SPR kerana mengendalikan semuanya secara profesional,” katanya.
Bekas Timbalan Ketua Polis Melaka itu mengakui kunjungannya ke Balai Polis Sikamat turut mengimbau kenangan ketika masih berkhidmat dalam pasukan keselamatan.
“Sebagai bekas anggota polis, saya seolah-olah merasakan masih bertugas apabila melihat anak-anak buah menjalankan tugas. Bezanya kali ini saya hanya memerhati.
“Saya sempat bersalaman dengan beberapa anggota yang pernah bertugas bersama saya dan syukur mereka juga berpuas hati dengan pengurusan yang dikendalikan oleh SPR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















