Gambar ihsan RISDA

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM30 juta disasarkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi nilai jualan produk usahawan bimbingannya menjelang tahun 2030 melalui pelan strategik RisSMart 2030.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, sasaran berani itu disokong oleh pembangunan ekosistem peruncitan dan pemasaran holistik termasuk sasaran memasarkan 1,000 variasi produk (SKU) serta pembangunan 25 SKU khusus bawah jenama RisSMart.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Risda (KKDW) dan RISDA dalam memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar, di samping menyokong agenda sekuriti makanan negara.

“Ekosistem RisSMart merangkumi RisSMart24, RisSMart Butchery, RisSMart Grocer, RisSMart Pit Stop serta pusat pengedaran dan pemprosesan.

“Sebagai contoh, RisSMart Grocer dibangunkan sebagai model perniagaan yang fleksibel, berdaya tahan dan berorientasikan ke­perluan pasaran dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa termasuk pe­ningkatan kos sara hidup dan perubahan corak perbelanjaan pengguna,” katanya dalam kenyataan.

RisSMart Grocer diwujudkan oleh syarikat milik Risda iaitu Risda Agri Food Industries Sdn. Bhd. (RAFI) dan cawangan sulungnya telah dibuka di Urban Eats@Kwasa Damansara sebagai platform peruncitan moden.

Ujar Manndzri, ia mampu menjadi penghubung secara terus antara pekebun kecil dan memberi peluang yang lebih luas kepada usahawan bumiputera desa menawarkan produk ma­sing-masing terus kepada pelanggan.

“Sehingga kini, sebanyak 269 produk keluaran usahawan bimbingan Risda dipasarkan di RisSMart Grocer dengan melibatkan pelbagai kategori termasuk makanan segar, makanan sejuk beku dan barangan keperluan harian.

“Selain menyediakan ruang jualan, RisSMart Grocer turut menawarkan sokongan menyeluruh merangkumi penjenamaan, pembungkusan, pematuhan piawaian keselamatan makanan, strategi pemasaran, penetapan harga serta pengurusan rantaian bekalan.

“Lebih menarik, RisSMart Grocer turut mengaplikasikan konsep ‘farm-to-market’ dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, sekali gus meningkatkan margin keuntungan usahawan selain menawarkan harga lebih kompetitif kepada pengguna,” jelasnya.

Dalam pada itu, sempena memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, RisSMart bakal menganjurkan RisSMart 5 kilometer (km) Fun Run yang akan berlangsung di RisSMart Grocer, Kwasa Damansara pada Ahad, 30 Ogos depan.

Penyertaan terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Kategori Standard (RM35) yang membolehkan peserta menerima baju larian eksklusif, pingat penamat edisi khas dan beg (drawstring bag) rasmi RisSMart.

Manakala Kategori 5km Team RisSMart (RM120) iaitu terhad kepada 50 penyertaan sahaja. Selain barangan standard, peserta membawa pulang RisSMart Red Duffel Bag eksklusif yang diisi dengan barangan misteri dan kejutan istimewa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast