Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi itu kepada umum hari ini.

Dalam kenyataan susulan keputusan Jemaah Menteri itu, TH memaklumkan pihaknya telah mengambil maklum syor-syor RCI berhubung perkara yang berlaku sebelum 2018 dan sejak itu melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan.

Menurut TH, sebanyak 75 peratus daripada syor RCI telah dilaksanakan bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi berkenaan, manakala baki syor kini dalam proses pelaksanaan.

“Sejak itu, TH telah melangkah ke hadapan,” menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji hari ini

TH berkata, usaha pemulihan yang dilaksanakan turut menyaksikan institusi berkenaan berjaya memulihkan kunci kira-kira dan membina rizab, selain meningkatkan kadar agihan keuntungan kepada 3.5 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Pada masa sama, TH berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 bagi seorang jemaah selama tiga tahun berturut-turut.

TH menegaskan institusi itu kekal komited untuk melindungi kepentingan pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam serta memastikan operasinya dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

Terdahulu hari ini, Jemaah Menteri bersetuju supaya Laporan RCI TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum.

Keputusan itu dibuat selepas Kabinet menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan berkenaan.

Kerajaan turut memutuskan laporan RCI tersebut akan dibentangkan dan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Jemaah Menteri turut mengarahkan siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan dapatan laporan RCI diteruskan serta-merta.

Kerajaan menegaskan pihak yang terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang.

RCI berkenaan antara lain ditubuhkan bagi meneliti isu pengurusan dan operasi TH serta dapatan audit dan langkah pemulihan institusi itu dalam tempoh yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast