Tabung Haji. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mendedahkan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum hari ini, selain meneruskan siasatan penuh terhadap sebarang kemungkinan pelanggaran undang-undang yang dikenal pasti menerusi laporan berkenaan.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri diberikan taklimat oleh pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan RCI yang meneliti isu berkaitan institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Menurutnya, Jemaah Menteri bersetuju supaya laporan tersebut dibuat pengelasan semula (declassified) sebelum didedahkan kepada umum hari ini.

“Laporan ini juga akan dibentangkan dan dibahaskan di satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa RCI berkenaan menggariskan sebanyak 25 syor tindakan penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH setakat ini berjaya melaksanakan 75 peratus daripada keseluruhan syor tersebut.

Dalam perkembangan sama, Kabinet mengambil maklum prestasi semasa TH termasuk pengumuman kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, yang menurut kerajaan menunjukkan pengurusan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan penguatkuasaan berdasarkan dapatan laporan RCI diteruskan serta-merta.

Menurut kenyataan itu, pihak yang terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Kerajaan pada Julai 2021 bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti isu berkaitan pengurusan dan operasi TH.

Penubuhan suruhanjaya itu antara lain bertujuan meneliti dapatan pengauditan oleh perunding bagi tempoh 2014 hingga 2018 serta langkah pemulihan yang dilaksanakan TH berdasarkan dapatan berkenaan sehingga 2020.

Skop RCI bagaimanapun tidak merangkumi usaha penambahbaikan berterusan dan pelan penstrukturan yang ketika itu sedang dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus TH.

Antara perkara yang menjadi tumpuan RCI ialah dapatan audit oleh beberapa firma perunding termasuk PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, selain menentukan sama ada wujud unsur menyembunyikan fakta atau pemberian maklumat mengelirukan berkaitan isu yang dibangkitkan.

Kerajaan ketika mengumumkan penubuhan RCI menegaskan aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam perlu diperkukuh bagi melindungi kepentingan pendeposit serta jemaah haji Malaysia.

Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkenaan supaya rakyat dapat mengetahui hasil siasatan terhadap isu yang berlaku dalam TH. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast