Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu pengundi Negeri Sembilan memberikan mandat baharu kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan Datuk Seri Aminuddin Harun atau mesra nama Tok MIn untuk terus diberi kepercayaan menerajui pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, walaupun tiada pemimpin yang sempurna, Aminuddin telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang bekerja keras, berintegriti serta tidak menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi.

“Saya sudah beritahu tadi, ingat Aminuddin ini sempurna? Tidak. Tetapi dia bekerja kuat. Dia tidak curi tanah, dia tidak ambil projek untuk diri sendiri. Dia seorang yang jujur dan rajin bekerja.

“Tanggungjawab saya ialah menyokong beliau supaya diberi mandat dan terus menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di DUN Sikamat, di Betaria Business Centre di sini malam ini.

Menurut Anwar, pilihan raya kali ini bukan sekadar memilih wakil rakyat, sebaliknya menentukan sama ada rakyat mahu mengekalkan sebuah kerajaan negeri yang berteraskan tadbir urus baik, bersih dan amanah.

“Kepimpinan yang jujur jauh lebih penting berbanding retorik politik kerana rakyat memerlukan kerajaan yang benar-benar mengurus negeri dengan berkesan serta memastikan hasil negeri dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya membuat pilihan yang bijak dengan terus memberi sokongan kepada calon-calon PH bagi memastikan agenda pembangunan dan reformasi pentadbiran dapat diteruskan.

“Saya minta pilih dengan bijak dalam pilihan raya ini. Undilah wakil-wakil PH supaya mereka dapat terus mengangkat kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar dan menjaga kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan mandat rakyat perlu diberikan kepada pemimpin yang memiliki rekod bersih, amanah dan sanggup berkhidmat kepada rakyat.

“Mandat rakyat tidak layak diberi kepada mereka yang menggunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan peribadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast