SEMPORNA – Komitmen universiti awam dalam memperkasakan khidmat masyarakat terus diperkukuh apabila Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) menganjurkan Program Khidmat Komuniti di Pulau Mabul, Semporna sempena Mesyuarat UniCC.
Program itu antara inisiatif yang digerakkan di bawah kepimpinan Pengerusi UniCC merangkap Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zai’m Ahmad, dalam memperluaskan peranan universiti awam sebagai rakan strategik pembangunan komuniti melalui aktiviti kokurikulum berimpak tinggi.
Pelaksanaan program di lapangan diketuai oleh Timbalan Pengerusi UniCC merangkap Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Ts. Dr. Nik Noriman Zulkefli bersama delegasi daripada universiti awam seluruh negara.
Delegasi UniCC memulakan program di Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul dengan menyampaikan sumbangan alat tulis kepada 50 murid sebagai usaha menyokong keperluan pembelajaran dan memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus berjaya.

Turut diadakan sesi perbincangan bersama pihak sekolah bagi mendapatkan gambaran mengenai cabaran yang dihadapi komuniti pendidikan di pulau berkenaan, khususnya berkaitan kemudahan dan akses kepada pendidikan.
Program diteruskan di Masjid Maqbul, Kampung Pulau Mabul menerusi penyerahan sumbangan kipas elektrik dan sejadah bagi meningkatkan keselesaan jemaah serta menyokong aktiviti keagamaan masyarakat setempat.
Dr. Zai’m Ahmad berkata, UniCC komited memastikan setiap mesyuarat yang diadakan bukan sekadar membincangkan dasar dan pembangunan kokurikulum, malah diterjemahkan kepada program yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
“Kokurikulum ialah medan membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai jiwa kesukarelawanan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial. Sebab itu setiap perancangan perlu disusuli dengan tindakan yang membawa manfaat kepada komuniti,” katanya.
Sementara itu, Dr. Nik Noriman berkata, program berkenaan membuktikan universiti awam bukan sahaja berperanan sebagai pusat kecemerlangan ilmu, malah menjadi rakan strategik masyarakat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, inisiatif seperti itu turut menyemai nilai empati, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti di samping mengukuhkan hubungan erat antara institusi pengajian tinggi dan komuniti.
Program berkenaan berjaya mencapai objektifnya dalam menyokong pembangunan pendidikan, memperkasa institusi masjid serta mengeratkan hubungan antara universiti awam dengan komuniti Pulau Mabul.
UniCC berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dilaksanakan pada masa hadapan agar manfaat kepakaran dan jaringan universiti awam dapat dinikmati oleh lebih ramai masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman dan pulau-pulau di seluruh negara. – MalaysiaGazette
















