Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom

SEREMBAN – Pemberian hibah oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang pentadbirannya adalah untuk manfaat para pendeposit dan bukannya disalurkan kepada mana-mana ahli lembaga, pemimpin atau pihak tertentu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom berkata, isu berkaitan pembayaran hibah yang disentuh dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu difahami dalam konteks sebenar.

“Keuntungan yang diagihkan itu merupakan pulangan kepada pendeposit yang menyimpan wang di TH,” katanya kepada pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.

Jamil Khir berkata demikian ketika mengulas polemik berhubung pembayaran hibah TH yang kembali menjadi perhatian selepas pendedahan laporan RCI berkaitan pengurusan institusi berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 semalam.

Jamil Khir berkata, dakwaan berlaku penyalahgunaan atau pemberian manfaat kepada pihak tertentu adalah tidak tepat kerana hibah tersebut diagihkan secara terus kepada pendeposit serta turut membantu menampung subsidi kos menunaikan ibadah haji.

“Hibah itu pergi kepada siapa? Ia tidak pergi kepada ahli lembaga, tidak pergi kepada pihak-pihak tertentu. Ia dipulangkan kepada pendeposit dan digunakan juga dalam bentuk bantuan subsidi untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat perlu memahami bahawa hibah merupakan mekanisme agihan keuntungan yang diperoleh hasil daripada aktiviti pelaburan TH, bukannya bayaran yang diberikan kepada mana-mana individu tertentu.

“TH ditubuhkan untuk menguruskan simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji, selain mengembangkan dana melalui pelaburan yang mematuhi prinsip syariah.

“Apabila TH mendapat keuntungan, sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pendeposit melalui hibah. Itulah tujuan asalnya, supaya pendeposit mendapat manfaat daripada simpanan mereka,” katanya.

Menurutnya, keputusan berkaitan pembayaran hibah dibuat berdasarkan pertimbangan pengurusan dan TH dengan mengambil kira kedudukan kewangan, prestasi pelaburan serta tanggungjawab kepada pendeposit.

“Semua keputusan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Ia melalui proses penilaian dan pertimbangan oleh pihak pengurusan serta TH,” katanya.

Selain hibah, katanya, TH juga memainkan peranan besar dalam membantu rakyat Malaysia melalui subsidi kos ibadah haji yang merupakan antara manfaat yang diterima oleh pendeposit selain pulangan daripada simpanan mereka.

“Ramai mungkin hanya melihat kepada angka hibah, tetapi mereka perlu melihat keseluruhan peranan TH termasuk membantu kos menunaikan haji.

“Itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab institusi ini kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir meminta semua pihak supaya tidak menggunakan isu hibah sebagai bahan politik sehingga menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap TH.

Katanya, sebarang perbincangan berkaitan institusi tersebut perlu dibuat berdasarkan fakta dan dokumen rasmi bukannya berdasarkan tuduhan atau persepsi yang tidak disokong bukti.

“Kalau kita bercakap mengenai TH, kita bercakap mengenai simpanan jutaan rakyat. Jangan sampai kerana perbezaan pandangan politik, keyakinan pendeposit terhadap institusi ini terjejas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast