SEREMBAN – Wanita Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berikrar untuk memastikan manifesto gabungan itu khusus membabitkan golongan wanita dilaksanakan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) negeri itu, 1 Ogos ini.
Ketuanya, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, Ikrar Wanita Negeri Sembilan yang dilancarkan hari ini adalah kesinambungan daripada manifesto BN yang sebelum ini diperkenalkan bersama pimpinan tertinggi parti.
Menurut beliau, ikrar tersebut bukan sekadar satu dokumen politik, sebaliknya menjadi komitmen Wanita BN untuk bersama-sama kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat khususnya kaum wanita.
“Setelah kita melihat kepada teras-teras dalam manifesto tersebut dan apa yang boleh wanita sumbangkan, Wanita Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk menggariskan ikrar ini.
“Sekiranya calon kita menang dan BN diberi peluang memerintah negeri ini, kita mahu bersama-sama sebagai sebahagian daripada kerajaan untuk melaksanakan apa yang telah diberikan melalui manifesto BN kepada wanita Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Ikrar Wanita Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom.
Bibi Sharliza juga berkata, BN mahu memastikan manifesto yang diumumkan bukan hanya menjadi bahan kempen ketika pilihan raya, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan selepas menerima mandat rakyat.
Menurut beliau, kekuatan pengundi wanita yang tinggi di Negeri Sembilan juga menjadi faktor penting kepada parti untuk memberi perhatian serius terhadap aspirasi golongan berkenaan.
“Wanita adalah sebahagian besar daripada pengundi dan suara mereka amat penting. Sebab itu manifesto ini perlu diterjemahkan dengan baik kerana ia melibatkan masa depan keluarga, ekonomi dan pembangunan wanita,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui jumlah pencalonan wanita BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini masih belum mencapai sasaran ideal 30 peratus penyertaan wanita dalam politik.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemilihan tiga calon wanita BN pada PRN Negeri Sembilan menunjukkan parti itu tetap memberi ruang kepada golongan wanita berdasarkan keupayaan dan latar belakang masing-masing.
“Kita memang mengambil kira sasaran 30 peratus calon wanita dalam politik, tetapi kita juga perlu melihat kepada perkembangan semasa dan realiti politik hari ini.
“Pada kali ini, kita tampilkan calon muda seperti Maira Hasim, seorang calon wanita di kawasan pedalaman kampung di N.20 Labu dan seorang lagi calon wanita MCA di kawasan pekan N.22 Rahang,” katanya.
Bibi Sharliza berkata, walaupun jumlah itu masih belum mencukupi jika dibandingkan dengan sasaran peratusan tertentu, perkara itu tidak bermakna peranan wanita dalam BN hanya diukur melalui jumlah pencalonan.
“Bagi saya, kepimpinan telah membuat penilaian bukan sahaja untuk jawatan sebagai wakil rakyat, tetapi juga peluang untuk bersama dalam kerajaan melalui jawatan-jawatan lain.
“Itulah yang telah difikirkan oleh BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















