JOHOR BAHRU – Malaysia akan berbincang dengan wakil kerajaan Bahrain, Bahrain Tourism, Gulf Air dan penganjur GP Bahrain minggu depan berkenaan penganjuran Formula 1, GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang, (SIC) pada Oktober ini.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, perbincangan tersebut susulan keputusan mengadakan Formula 1 berkenaan di SIC dari 2 hingga 4 Oktober nanti.
Menurutnya, penganjuran berkenaan bakal memberi limpahan ekonomi terutama sektor pelancongan dan perkhidmatan negara.
“Keputusan Bahrain memilih Malaysia sebagai tuan rumah pengganti bakal melonjakkan kemasukan pelancong, sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita menjangkakan limpahan ekonomi memandangkan tempahan hotel, penginapan, bas-bas pelancongan dan produk makanan sedang mula mendapat tempahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 Johor di Paradigm Mall di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat awal diterima, banyak hotel di Sepang dan Putrajaya sudah ditempah termasuk di Kuala Lumpur.
Justeru katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga minta adakan satu karnival sempena penganjuran Formula 1 tersebut.
Perlumbaan Formula 1 itu ujar beliau, berjaya menarik ramai pelancong Singapura, Thailand dan Indonesia.
Justeru katanya, penganjuran Formula 1 di Singapura pada minggu berikutnya juga memberi limpahan ekonomi kepada Johor.
“Setiap tahun, sektor pelancongan negeri ini menerima tempahan penginapan, makanan dan lain-lain perkhidmatan sempena Formula 1 di Singapura.
“Menariknya, pelancong juga akan ambil kesempatan melancong di lokasi-lokasi menarik di Johor selepas tamat perlumbaan Formula 1 Singapura,” katanya.
Tourism Malaysia juga bekerjasama dengan Singapore Tourism Board melibatkan lokasi-lokasi pelancongan di Johor sepanjang penganjuran Formula 1 Singapura.
Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama-sama Grand Prix Arab Saudi susulan perang di Iran.
Sepang pernah menjadi antara venue perlumbaan yang popular sebelum digugurkan daripada kalendar Formula 1 selepas edisi 2017.- MalaysiaGazette
















