KUALA LUMPUR – Semua individu yang dipercayai terbabit dalam insiden pembunuhan kejam seekor anjing di Port Klang yang tular di media sosial perlu didakwa tanpa kompromi bagi memastikan undang-undang berkaitan kebajikan haiwan benar-benar dikuatkuasakan.
Peguam, M Partiben berkata, tindakan pantas itu penting kerana perbuatan berkenaan bukan sahaja bertentangan dengan nilai kemanusiaan, malah merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang negara.
Beliau berkata, haiwan juga mempunyai hak untuk mendapat perlindungan daripada sebarang bentuk penderaan dan kekejaman, justeru pelaku tidak boleh dibiarkan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya insiden ini dan menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mendakwa semua individu yang terlibat tanpa sebarang kompromi.
“Perbuatan seperti ini bukan sahaja tidak bermoral, malah berpotensi mencetuskan budaya keganasan dalam masyarakat jika tidak ditangani dengan tegas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut beliau, pelaku boleh disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana menyebabkan kesakitan atau penderaan terhadap haiwan, selain Seksyen 30(1) akta sama yang memperuntukkan kesalahan membunuh haiwan secara kejam.
Kedua-dua peruntukan itu membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Beliau berkata, tindakan juga boleh dipertimbangkan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Klang bekerjasama mengenal pasti semua individu yang terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta video yang tular di media sosial.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan bagi memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Kerajaan dan masyarakat perlu bersama-sama menolak sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan. Undang-undang telah tersedia, kini tiba masanya ia dikuatkuasakan secara konsisten,” tegas beliau.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seekor anjing mati dalam satu kejadian di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Kerja Dina itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas haiwan berkenaan didakwa diperlakukan secara kejam ketika satu operasi menangkap anjing berkeliaran.
Susulan insiden itu, pelbagai pertubuhan pencinta haiwan, peguam dan orang awam menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015. – MalaysiaGazette
















