SEREMBAN – Persaingan tiga penjuru di kerusi N.13 Sikamat masih terlalu sengit sehingga sukar untuk meramalkan keputusan, sambil menganggarkan pertembungan antara calon hanya dipisahkan dengan jurang tipis.
Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berkata, berdasarkan pemerhatian dan maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen, peluang kemenangan masih terbuka kepada semua pihak.
“Payah nak agak. Masih lagi 51-49 peratus macam itulah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Mengundi N.13 Sikamat di Institut Perguruan Kampus Raja Melewar, di sini, hari ini.
Walaupun mengakui saingan amat sengit, Nor Azman tetap optimis selepas melaksanakan pelbagai program sepanjang tempoh kempen bagi mendekati seramai mungkin pengundi di DUN Sikamat.
Menurutnya, segala usaha telah dilakukan dan kini beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan rakyat untuk membuat pilihan.
“Saya dah cuba yang terbaik. Kita sudah santuni seramai mungkin pengundi. Terpulang kepada penilaian mereka untuk membuat keputusan pada saat akhir. Insya-Allah saya akan menang,” katanya.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya sering dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kecenderungan pengundi pada saat-saat akhir, justeru beliau enggan terlalu awal membuat andaian mengenai keputusan yang bakal diumumkan.
Nor Azman turut berharap semua pengundi yang masih belum keluar mengundi supaya segera menunaikan tanggungjawab mereka kerana setiap undi mampu menjadi penentu dalam pertandingan yang dijangka berlangsung dengan perbezaan undi yang kecil.
“Saya harap semua yang layak mengundi dapat keluar mengundi hari ini kerana setiap undi amat penting,” katanya.
Beliau sebelum itu memaklumkan keadaan di pusat mengundi pada sebelah pagi berjalan lancar tanpa kesesakan selain trafik menuju ke pusat mengundi juga terkawal.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak menangguhkan waktu mengundi memandangkan cuaca hujan dijangka berlaku pada sebelah petang yang berkemungkinan menjejaskan kehadiran pengundi. – MalaysiaGazette
















