Bendera Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ketika PRN Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Semua parti pembangkang perlu mengetepikan ego dan kembali membentuk kesatuan yang kuat dalam memberi hala tuju jelas dan tawaran alternatif kepada rakyat untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Biro Politik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia kerana parti-parti pembangkang kini berpecah sejak keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Keputusan PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan memperlihatkan satu realiti politik yang tidak lagi boleh diabaikan. Garisan antara kerajaan dan pembangkang semakin kabur, manakala parti-parti yang sepatutnya menjadi alternatif kepada kerajaan terus berpecah, bertembung sesama sendiri dan gagal menawarkan satu arah yang jelas kepada rakyat.

“Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih bersama dalam kerajaan Persekutuan. Namun, BN bertanding menentang PH di Johor sebelum membentuk pakatan pilihan raya bersama-sama Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.

“Pas pula menyokong BN dalam PRN Johor dan bekerjasama dengan BN di Negeri Sembilan sedangkan Pas masih mahu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangkang di peringkat Persekutuan,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

MUDA mendakwa, dalam masa yang sama, hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah berpecah sehingga struktur pembangkang sedia ada semakin kehilangan arah serta kesatuan.

“Pembangkang bukan sekadar mereka yang duduk di sebelah berbeza dalam Dewan Rakyat. Pembangkang mestilah satu kuasa politik yang konsisten, mampu menyemak kerajaan, menawarkan dasar alternatif dan bersedia menjadi pilihan yang boleh dipercayai oleh rakyat.

“Parti-parti pembangkang perlu mula melihat melangkaui kepentingan organisasi masing-masing. Persoalan siapa paling besar, siapa paling layak memimpin atau logo siapa yang perlu digunakan tidak boleh terus mengatasi keperluan untuk membina satu alternatif politik yang benar-benar berkesan,” dakwa MUDA.

Semua pihak menurut MUDA, perlu mempunyai kerendahan hati untuk duduk semeja, mendengar antara satu sama lain dan mencari titik persamaan.

Jelas parti tersebut, tidak semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara tetapi harus difahami bahawa pembangkang yang terlalu berpecah hanya akan melemahkan suara rakyat.

MUDA menyeru semua parti yang benar-benar ingin membawa dasar-dasar progresif dan serius mahu menjadi pembangkang yang berkesan supaya mengetepikan ego, kepentingan sempit serta perebutan kedudukan.

“Kita perlu memulakan perbincangan yang jujur untuk membina satu pembangkang yang tersusun, berkesan dan mempunyai hala tuju bersama menjelang PRU-16,” ujarnya lagi.

Tambah MUDA, kesatuan tidak bermaksud semua parti perlu meleburkan identiti atau bersetuju dalam setiap perkara.

“Kesatuan bermaksud kita bersedia mencari titik persamaan dalam perkara asas seperti reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, kos sara hidup, hak pekerja, perubahan iklim dan perlindungan terhadap hak semua rakyat Malaysia,” ujar MUDA.

Mengulas lanjut, MUDA mendakwa Malaysia memerlukan politik progresif yang berasaskan dasar, penyelesaian dan keberanian untuk membina masa depan.

Negara ini tidak boleh terus terperangkap dalam politik sentimen, ketakutan, nostalgia, perkauman dan permainan emosi yang hanya digunakan untuk meraih undi.

“Kesatuan juga memerlukan disiplin. Parti-parti pembangkang perlu bersedia menyelaraskan kerusi, mengelakkan pertembungan sesama sendiri, membentuk dasar alternatif dan membuktikan kepada rakyat bahawa kita mampu bekerjasama sebelum meminta mandat untuk mentadbir.”

Tegas parti berkenaan, ia bukan masanya untuk berlumba siapa paling kuat dalam kalangan pembangkang.

MUDA berpandangan, hakikatnya tiada satu pun parti pembangkang hari ini cukup kuat untuk bergerak sendirian dan menggantikan kerajaan.

“Sesiapa yang masih percaya bahawa partinya sahaja mampu menawan Putrajaya sedang memilih untuk hidup dalam khayalan politik.”

MUDA bersedia untuk duduk semeja dengan mana-mana pihak yang benar-benar komited kepada politik berprinsip, reformasi institusi, tadbir urus yang bersih dan pembinaan alternatif yang inklusif.

“Namun kesatuan tidak boleh sekadar menjadi slogan menjelang pilihan raya. la mesti diterjemahkan melalui perbincangan dasar, pembahagian tanggungjawab dan kesediaan untuk berkorban,” katanya.

Rakyat tidak memerlukan pembangkang yang hanya pandai menyerang kerajaan sebaliknya memerlukan pembangkang yang boleh menunjukkan bahawa mereka mempunyai pasukan, dasar, disiplin dan kematangan untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Jika parti-parti pembangkang terus memilih ego berbanding kesatuan, MUDA meramalkan kerajaan tidak perlu terlalu kuat untuk terus berkuasa tetapi hanya memerlukan pembangkang untuk terus berpecah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast