KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) perlu segera menyiasat berhubung kelemahan sistem pengawasan dan saringan kru penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib, langkah berkenaan penting susulan laporan penahanan seorang juruterbang warganegara Malaysia berusia 39 tahun oleh pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai lalu selepas disyaki cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi seberat kira-kira 26 kilogram serta didapati positif dadah jenis methamphetamine, MDMA dan kokain selepas mengendalikan penerbangan membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke Jakarta.
“Insiden berkenaan bukan sekadar isu jenayah individu, sebaliknya membuka persoalan besar dan serius mengenai keselamatan penerbangan awam negara khususnya membabitkan sistem saringan serta pemeriksaan keselamatan krew.
“Bagaimana seorang juruterbang yang berada di bawah pengaruh pelbagai jenis dadah dibenarkan mengendalikan pesawat komersial yang membawa ratusan nyawa penumpang sekali gus menyifatkannya sebagai kegagalan amat membimbangkan.
“Ini adalah kegagalan yang amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan program pengurusan alkohol dan dadah dalam kalangan krew penerbangan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia.
“Adakah ujian saringan dijalankan secara berkala dan menyeluruh, atau hanya bersifat simbolik.
“Bagaimana barangan terlarang seberat 26 kilogram dapat melepasi pemeriksaan bagasi kru di KLIA sebelum berlepas ke Jakarta?
“Ini menimbulkan persoalan serius tentang keberkesanan sistem imbasan dan protokol pemeriksaan bagasi krew penerbangan, yang selama ini dipercayai kurang ketat berbanding pemeriksaan penumpang biasa.
“Suspek juga dilaporkan mengaku ini merupakan percubaan penyeludupan kali ketiga, termasuk sebelumnya membawa dadah ke Sabah dan Jakarta.
“Jika benar, ini menunjukkan kegagalan sistem pemantauan dalaman syarikat penerbangan dan pihak berkuasa untuk mengesan corak tingkah laku berisiko tinggi dalam kalangan kakitangan yang memegang tanggungjawab keselamatan awam yang amat besar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhammad Ismi mengemukakan empat tuntutan utama kepada Kementerian Pengangkutan dan MAVCOM termasuk mengaudit pematuhan program pengurusan dadah syarikat penerbangan serta memperketat protokol pemeriksaan bagasi krew di semua lapangan terbang antarabangsa negara.
“Saya menggesa pelaksanaan ujian saringan dadah secara rawak dan lebih kerap ke atas juruterbang serta kru penerbangan sebelum bertugas disusuli pembentangan laporan siasatan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti awam.
“Keselamatan penumpang mesti menjadi keutamaan mutlak kerana rakyat berhak mendapat jaminan bahawa setiap penerbangan dikendalikan oleh krew yang bertanggungjawab dan bebas daripada pengaruh bahan terlarang,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berharap Kedutaan Malaysia di Jakarta dapat terus memberikan akses konsular sewajarnya kepada individu berkenaan mengikut prosedur diplomatik di samping menghormati proses undang-undang yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
AKPS sahkan juruterbang disyaki bawa dadah lepasi semua saringan keselamatan KLIA
















