Majlis Perasmian Penutup iFAMB@SEN2026 diadakan serantak dengan penutup bagi pertandingan International Highest Early Strength Eco-Green Concrete Cube Competition 2026 (I-HESEGC 2026) di POLISAS yang disempurnakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

KUANTAN – Tiga pelajar berkeperluan khas dari Kolej Komuniti Selayang yang mengetengahkan inovasi dalam bidang agrikultur menerusi ciptaan ProFiber Sosej, produk yang direka khas untuk individu yang mengutamakan pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian.

Wakil kumpulan itu, Khilfy Falah Mohd khairudin, 20 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme berkata, sosej yang dihasilkan mereka tidak mengandungi sebarang bahan pengawet dan diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi sahaja.

“Dalam ProFiber Sosej ini mengandungi sayur-sayuran dan bahan semula jadi yang segar. Ada tempe, bayam, saderi dan isi ayam. Biasa produk di pasaran diletakkan bahan pengawet dalam kadar tinggi, tapi produk ini tiada bahan pengawet.

“Tambahan pula, kos bahan mentah seperti bayam dan saderi tu rendah dan mudah dicari atau dijual di kedai-kedai sahaja.

“Perbezaannya, sosej ini dihasilkan sesuai untuk mereka yang mahu diet dan menjaga kesihatan. Kalau makan sosej ni pada waktu pagi, hanya akan rasa lapar semula pada waktu petang,” katanya.

Khilfy Falah Mohd khairudin

Bagi inovasi itu, kumpulan tersebut berjaya meraih tempat pertama Anugerah Inovasi Terbaik bagi Kategori D (Keperluan Pendidikan Khas-Agrikultur TVET) dalam pertandingan International Agrofood and Biotechnology Festival @ Special Education Needs 2026 (iFAMB@SEN2026) yang diadakan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), di sini yang berakhir hari ini.

Menurut Khilfy Falah, pasukan yang dianggotai dua lagi rakannya iaitu Aisyah Humaira Abdul Azim dan Preity Nor Athillia Fir Abdullah dibimbing Pensyarahnya, Mohd Che Khaidir Che Hassan telah melakukan percubaan menghasilkan produk terbabit sejak empat bulan lepas.

“Pada awalnya memang banyak kegagalan sebab produk tak menjadi, tapi kami tetap berusaha dan produk itu berjaya dihasilkan tepat pada waktunya.

“Kami ada impian untuk tambah baik, perluas kepada sosej daging dan sosej sayur pada masa hadapan dan ia akan akhirnya dijual di pasaran apabila produk itu betul-betul sudah bersedia,” katanya lagi.

Khilfy Falah Mohd khairudin bergambar dengan produk ProFiber Sosej

Majlis Perasmian Penutup iFAMB@SEN2026 diadakan serentak dengan penutup bagi pertandingan International Highest Early Strength Eco-Green Concrete Cube Competition 2026 (I-HESEGC 2026) di POLISAS yang disempurnakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Menerusi penganjurannya selama dua hari itu, iFAMB@SEN2026 mempertandingkan empat kategori inovasi yang disertai 255 peserta tempatan dan tiga penyertaan antarabangsa membabitkan negara China, Indonesia dan Brunei.

Manakala, I-HESEGC 2026 pula disertai 188 peserta daripada 30 kumpulan yang membabitkan 18 institusi pendidikan tinggi termasuk dua dari Indonesia.

POLISAS dalam kenyataannya berkata, penganjuran dua program bertaraf antarabangsa ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh TVET melalui penghasilan penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran merentas disiplin, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi serta Pelan Transformasi Politeknik 2023-2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast