Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026. (Gambar fail).

SEREMBAN – Pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dijangka menyaksikan beberapa kejutan apabila beberapa nama pemimpin UMNO dan Pas dikatakan berkemungkinan tidak tersenarai dalam komposisi pentadbiran baharu.

MalaysiaGazette difahamkan, perkara itu antara perkembangan yang sedang menjadi perhatian ketika rundingan pembentukan Exco masih berlangsung selepas Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sumber tertinggi parti yang enggan dikenali berkata, proses pemilihan kali ini bukan sekadar mengambil kira faktor kekananan atau kedudukan dalam parti malah turut melibatkan pelbagai pertimbangan lain bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berfungsi secara stabil.

Menurut sumber itu, beberapa nama yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan Exco Kanan masih menjadi bahan pertimbangan dan belum tentu tersenarai dalam komposisi akhir.

“Pelbagai formula masih dibincangkan. Tiada keputusan muktamad setakat ini dan senarai boleh berubah pada bila-bila masa sebelum dimuktamadkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, antara pertimbangan sedang diperhalusi termasuk keseimbangan politik dalam kerajaan negeri, penerimaan dalam kalangan kepimpinan parti serta keperluan membentuk sebuah pasukan pentadbiran yang mampu bergerak secara berkesan.

Dalam perkembangan sama, sumber itu tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan pada saat akhir berhubung beberapa portfolio Exco memandangkan rundingan masih berjalan.

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri mahupun kepimpinan UMNO dan Pas berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, Ismail sebelum ini memaklumkan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri.

Sumber itu berharap apa juga keputusan yang diambil nanti dapat memperkukuhkan pentadbiran negeri serta menamatkan pelbagai spekulasi yang timbul sejak pembentukan kerajaan baharu.

“Yang lebih penting sekarang ialah kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pentadbiran dan kebajikan rakyat tanpa polemik politik yang berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jijiknya kaedah penulisan wartawan Malaysia Gazette ni..balik2 ” Sumber menyatakan…”…Sumber mana?? teruknya kaedah penulisan. wartawan MG ni

Comments are closed.