SHAH ALAM – Hospital Pakar Selgate Sepang dijangka memulakan operasi pada suku keempat tahun ini manakala Hospital Pakar Selgate Setia Alam dijadualkan dibuka pada suku pertama 2027 bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan pakar di Selangor.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, pembukaan kedua-dua hospital itu bagaimanapun tertakluk kepada proses pemeriksaan dan kelulusan lesen operasi oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurut Jamaliah, kedua-dua hospital itu akan memulakan operasi secara berperingkat berdasarkan pengalaman pembangunan dan pengoperasian Hospital Pakar Selgate Rawang sekali gus membolehkan orang ramai menikmati perkhidmatan kesihatan lebih awal sebelum keseluruhan fasiliti beroperasi sepenuhnya.
Katanya, fasa awal akan memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan utama termasuk jabatan kecemasan yang beroperasi 24 jam, klinik pakar pelbagai disiplin dan subkepakaran, wad pesakit dalam, dewan bedah serta perkhidmatan endoskopi.
“Hospital berkenaan turut menyediakan kemudahan diagnostik seperti makmal dan pengimejan, selain perkhidmatan kesihatan bersekutu termasuk fisioterapi, dietetik serta saringan kesihatan sebelum perkhidmatan lain diperluaskan mengikut keperluan penduduk setempat,” maklum beliau.

Jamaliah berkata, walaupun Hospital Pakar Selgate dikategorikan sebagai hospital swasta di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, fasiliti itu akan terus memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pihak Selgate bagi memperluaskan kerjasama menerusi pelbagai program kesihatan komuniti supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada kemudahan dan kepakaran yang disediakan.
Beliau berkata, Hospital Pakar Selgate Rawang yang mula beroperasi pada Oktober 2025 menjadi hospital pakar swasta pertama milik Selgate Corporation di wilayah tengah dan menjadi model kepada pembangunan hospital-hospital baharu di bawah kumpulan itu.
Hospital berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Mei lalu dan kini mempunyai kira-kira 300 kakitangan, termasuk 120 jururawat selain hampir 30 doktor dalam lebih 20 bidang kepakaran dan subkepakaran.
Jamaliah berkata, Hospital Pakar Selgate Rawang juga dijangka memperkenalkan kemudahan rawatan jantung termasuk makmal kateterisasi (cath lab) menjelang hujung tahun ini bagi meningkatkan akses kepada rawatan kardiologi khususnya untuk penduduk di utara Selangor. – MalaysiaGazette
















