SHAH ALAM – Seramai 8,336 tenaga buruh mahir di Selangor direkodkan sedang berada dalam transisi kerjaya bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai lalu mewakili lebih separuh daripada keseluruhan 14,768 individu yang kehilangan pekerjaan atau sedang mencari pekerjaan baharu.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), seramai 3,733 lagi terdiri daripada tenaga buruh separa mahir manakala 2,699 adalah tenaga buruh kurang mahir.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Menurut Papparaidu, faktor terbesar yang menyebabkan pekerja berada dalam transisi kerjaya ialah pengecilan tenaga kerja membabitkan 3,113 orang.
Katanya, ia diikuti Skim Pemisahan Sukarela (VSS), Skim Pemisahan Bersama (MSS) dan pakej persaraan awal melibatkan 2,767 orang, manakala 2,566 orang lagi terjejas akibat penutupan syarikat atau bahagian operasi.
“Selain itu, seramai 1,727 pekerja kehilangan pekerjaan kerana prestasi kerja yang kurang memuaskan, 1,032 orang berhenti secara sukarela dan 532 orang lagi disebabkan masalah kewangan syarikat.
“Selebihnya, 3,031 kes direkodkan di bawah kategori lain-lain,” katanya.
Bagi membantu golongan terbabit mendapatkan pekerjaan semula, Papparaidu berkata, kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan PERKESO menyediakan pelbagai bentuk bantuan di bawah Skim LINDUNG Kerjaya.
Ia termasuk Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Pendapatan Berkurangan, pembiayaan yuran latihan serta elaun latihan kepada individu yang layak.
Beliau berkata, sesi padanan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) turut dipergiat bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerja.
Katanya, kerajaan negeri juga terus memperkukuh penganjuran Jelajah JobCare Selangor, JobCare Istimewa dan Program Kerjaya Selangor yang menyediakan platform temu duga terbuka, padanan pekerjaan, semakan resume serta khidmat bimbingan kerjaya.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan PERKESO, majikan dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap individu yang terkesan mendapat akses kepada peluang pekerjaan, latihan serta intervensi yang bersesuaian,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















