BENTONG – Semua agensi teknikal berkaitan perlu bekerjasama dan melakukan penilaian berkala terhadap kesihatan pokok, kestabilan akar, serta struktur tanah di Jalan Lama Bentong – Kuala Lumpur.
Ahli Perlimen Bentong, Young Syefura Othman membuat saranan itu susulan tragedi pokok tumbang menghempap sebuah pacuan empat roda mengorbankan empat sekeluarga di laluan FT68 (Jalan Lama Bentong – Kuala Lumpur) berhampiran Genting Sempah – Bukit Tinggi, di sini semalam.
Katanya, insiden semalam menegaskan lagi keperluan untuk memperkukuh langkah pencegahan sedia ada secara lebih menyeluruh.
“Justeru, saya menyokong penuh pandangan positif daripada pelbagai pihak, termasuk Persatuan Pengamal ESH Pahang (PESHA), untuk menambah baik aspek pengurusan keselamatan laluan ini.
“Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan pihak konsesi penyelenggaraan harus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak serta pakar bertauliah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Young Syefura berkata, laluan FT68 merupakan nadi perhubungan menyambungkan kawasan pelancongan utama seperti Kampung Janda Baik dan Bukit Tinggi dan bertindak sebagai laluan alternatif kritikal setiap kali berlaku kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KL-Karak).
Disebabkan faktor geografi laluan itu yang dikelilingi kawasan berbukit dan pokok-pokok matang, katanya isu kestabilan cerun serta risiko pokok tumbang sentiasa menjadi keutamaan yang dibincangkan bersama dari semasa ke semasa, termasuk dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Bentong.
“Saya juga menyeru pemegang taruh di kawasan tumpuan pelancongan dan pihak berkepentingan tempatan untuk bersama-sama menyumbang maklumat awal berhubung pokok berisiko di kawasan sekitar demi tindakan awal pihak berkuasa.
“Pihak saya akan terus membawa perkara ini ke peringkat kementerian serta menyusuli pelaksanaan tindakan pemantauan ini di dalam Mesyuarat JTPD Bentong yang akan datang,” katanya lagi.
Beliau berkata, fokus utama ketika ini adalah untuk bekerjasama rapat dengan semua agensi teknikal demi memastikan keselamatan penduduk tempatan serta para pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd Radzi Rahimi atau lebih dikenali sebagai Edy Radzi bersama isteri, seorang anak serta adik iparnya dikatakan mangsa yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di lokasi terbabit tengah hari semalam.– MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















