Jamaliah Jamaluddin

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor sedang meneliti cadangan memperluaskan Program Kesedaran Mental Remaja (PeerZ) ke lebih banyak sekolah di seluruh negeri itu selepas projek rintis yang dilaksanakan di dua sekolah menengah di Petaling Jaya menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, keputusan mengenai peluasan program itu bagaimanapun akan dibuat selepas laporan penilaian keberkesanan projek rintis yang sedang disediakan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) dijangka siap pada September ini.

Beliau berkata, laporan tersebut akan dijadikan asas bagi menilai keberkesanan modul latihan yang dilaksanakan selain mengenal pasti aspek yang perlu diperkukuhkan sebelum program itu diperluaskan ke seluruh Selangor.

“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap penambahbaikan dibuat berdasarkan data dan pengalaman sebenar sepanjang pelaksanaan projek rintis supaya pendekatan yang diperkenalkan benar-benar memberi impak kepada pelajar,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Jamaliah, projek rintis PeerZ telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (3) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4) dengan penglibatan seramai 47 murid Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Katanya, peserta mengikuti latihan berstruktur menerusi dua modul utama iaitu kesedaran kesihatan mental dan kemahiran memberi sokongan awal kepada rakan sebaya bagi memperkukuh peranan PRS membantu rakan yang memerlukan sokongan.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu turut mendapat sokongan guru kaunseling, guru penasihat PRS, pentadbir sekolah serta rakan strategik daripada institusi pengajian tinggi dan badan profesional bagi memastikan pelaksanaannya lebih menyeluruh.

Selain itu kerajaan negeri turut menganjurkan Karnival Kesedaran Kesihatan Mental Remaja yang melibatkan seluruh warga sekolah bagi meningkatkan kefahaman, kesedaran dan penerimaan positif terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan remaja.

Jamaliah berkata, antara aspek yang dinilai menerusi projek rintis itu ialah tahap pengetahuan dan kesedaran peserta sebelum dan selepas mengikuti latihan, keyakinan murid PRS dalam memberi sokongan awal kepada rakan sebaya serta maklum balas komuniti sekolah terhadap pendekatan yang digunakan.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh sokongan awal kepada pelajar yang berdepan pelbagai cabaran termasuk isu buli, tekanan emosi dan masalah kesihatan mental.

Juga inisiatif melengkapkan peranan guru kaunseling dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat, inklusif dan kondusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast