SHAH ALAM – Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San, mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mematuhi peraturan tetap Dewan sepanjang sesi perbahasan, khususnya membabitkan perkara yang menyentuh badan kehakiman.
Beliau membuat peringatan itu ketika sesi perbahasan petang ini dengan menarik perhatian ADUN terhadap Peraturan Tetap 36(8) yang melarang perbahasan mengenai kelakuan atau sifat mana-mana hakim ketika menjalankan fungsi kehakimannya.
“Saya ingin menarik perhatian terhadap Peraturan Tetap 36(8) iaitu mengenai kelakuan atau sifat mana-mana hakim yang menjalankan keadilan di mahkamah.
“Jadi saya berharap ahli-ahli yang berhormat mengambil perhatian terhadap peruntukan ini dan terus mematuhinya serta menjaga batas perbahasan supaya tidak melanggar peraturan tetap,” katanya pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Weng San berkata, semua ADUN perlu memastikan setiap hujah dan pandangan yang dibangkitkan dalam Dewan sentiasa berpandukan peraturan tetap yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, setiap wakil rakyat juga perlu berhati-hati ketika membahaskan sesuatu isu supaya tidak menyentuh perkara yang boleh ditafsirkan sebagai mempertikaikan kelakuan atau sifat seseorang hakim ketika menjalankan tugas kehakimannya.
Beliau berkata, pematuhan terhadap peraturan tersebut penting bagi memastikan perjalanan persidangan berlangsung secara teratur, profesional dan menghormati prinsip pengasingan kuasa yang diamalkan di negara ini.
Katanya, peraturan tetap diwujudkan sebagai panduan kepada semua ADUN bagi memastikan setiap perbahasan berjalan dalam lingkungan kuasa Dewan.
Selain mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan atau pentadbiran keadilan.
Peringatan itu dibuat sebelum persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan, dengan semua ADUN diminta mengambil perhatian terhadap peruntukan berkenaan sepanjang prosiding Dewan berlangsung. – MalaysiaGazette
















