Solihan Badri

JOHOR BAHRU – Tindakan Menteri Besar mempertikaikan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung isu kekurangan kakitangan di Hospital Pasir Gudang menggambarkan kelemahan kerajaan negeri dalam pengurusan isu, kata Mohd Solihin Badri.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor itu berkata, Datuk Onn Hafiz Ghazi kini sudah masuk penggal kedua sebagai Menteri Besar tetapi masih dilihat tidak tahu kaedah atau memahami prosedur asas untuk mengisi jawatan kosong bagi sebuah hospital kerajaan.

Jelasnya, seorang Menteri Besar sepatutnya tahu masalah kekurangan doktor dan kakitangan kesihatan tidak akan selesai dengan hanya membuat kenyataan media atau menyalahkan KKM.

Sebaliknya ujar beliau, penyelesaian hanya boleh dicapai melalui tindakan pentadbiran yang tersusun dengan mengemukakan permohonan rasmi kepada KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan Persekutuan.

“Sepatutnya Menteri Besar memanggil KKM, JPA serta semua agensi berkaitan ke Johor untuk mengadakan sesi libat urus dan taklimat mengenai keperluan sebenar Hospital Pasir Gudang.

“Kerajaan negeri juga perlu melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan jabatan berkaitan supaya satu tindakan bersepadu dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, itu merupakan tanggungjawab seorang ketua kerajaan negeri, bukannya memilih platform media untuk membidas dan melepaskan tanggungjawab.

Menurut Solihan, Menteri Besar boleh menjemput wakil KKM mengadakan pertemuan rasmi dengan kerajaan negeri dan itu merupakan ruang yang sepatutnya digunakan untuk mengemukakan kertas permohonan lengkap bagi mendapatkan kelulusan pengisian jawatan daripada JPA.

Beliau menjelaskan, setiap hospital baharu sememangnya sudah mempunyai unjuran jawatan yang diperlukan sebelum memulakan operasi.

Namun katanya, pengisian jawatan hanya boleh dibuat selepas mendapat kelulusan JPA berdasarkan permohonan rasmi.

“Atas sebab itu, adalah tidak wajar Menteri Besar bertindak seolah-olah KKM sengaja melengah-lengahkan perkara tersebut sedangkan kerajaan negeri sendiri perlu memainkan peranan menggerakkan proses permohonan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Mohd Solihan berkata, sepanjang pengalaman beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor, setiap permohonan kepada kerajaan Persekutuan sentiasa disokong dengan kertas cadangan lengkap dan justifikasi yang kukuh.

Malah ujar beliau, sekiranya Menteri Besar menghadap Perdana Menteri sekali pun, permohonan rasmi perlu dibawa bersama-sama untuk membolehkan arahan dan minit tindakan dikeluarkan kepada kementerian serta agensi berkaitan.

“Terus terang saya katakan, saya amat hairan bagaimana seorang Menteri Besar yang sudah dua penggal memegang jawatan itu masih tidak mengetahui prosedur asas untuk memohon pengisian kekosongan jawatan doktor dan kakitangan kesihatan bagi hospital kerajaan.

“Jika perkara semudah ini pun gagal difahami, bagaimana kerajaan negeri mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka benar-benar serius menyelesaikan masalah kesihatan di Johor,” soalnya.

Rakyat katanya, tidak memerlukan drama politik atau kenyataan populis sebaliknya mahukan tindakan, hasil dan penyelesaian yang sebenar.

Mohd Solihan turut mengaitkan sikap sama Onn Hafiz berhubung kekurangan kakitangan jabatan imigresen yang dikatakan menjadi punca kaunter keluar masuk negara di Tambak Johor kerap mengalami kesesakan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast