Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan perebutan satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai punca kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Melaka gagal dicapai.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini ialah memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak terus menguasai negeri tersebut berbanding mempertikaikan jumlah kerusi yang bakal ditandingi.

Menurutnya, Pas bersedia berunding mengenai pembahagian kerusi termasuk kerusi yang sebelum ini dimenangi Bersatu tetapi wakil rakyatnya kini menyokong kerajaan.

“Kita jangan sebab satu atau dua kerusi akhirnya muafakat politik menjadi masalah.

“Apa yang lebih besar ialah cabaran untuk menyekat kemaraan PH,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya akan mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN Melaka yang dimenangi pada 2021.

Tuan Ibrahim juga menjelaskan jentera PAS di Melaka dilancarkan lebih awal kerana parti itu menjangkakan pembubaran DUN di negeri itu akan berlaku dalam tempoh terdekat.

“Rundingan kerusi masih berjalan bersama kepimpinan PN dan BN bagi mencari formula terbaik,” katanya.

Beliau juga berkata, pendekatan di Melaka berbeza dengan pilihan raya negeri sebelum ini kerana matlamat utama bukan mengambil alih kerajaan, sebaliknya mengekang penguasaan PH.

“Pas menghormati hak UMNO untuk menentukan pendirian parti berhubung pembahagian kerusi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast